Jamal Md Yunos

AMPANG – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan balas terhadap Datuk Seri Abdul Samah Mat susulan pertuduhan yang dihadapinya kerana didakwa memuat naik kenyataan jelik, dua tahun lalu.

Bagaimanapun Jamal perlu berbincang dengan peguamnya sebelum mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Ketua Polis Selangor itu susulan keputusan Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskannya atas pertuduhan itu.

“Untuk keputusan hari ini, saya akan mempertimbangkan untuk membuat laporan atau mengambil tindakan selanjutnya setelah berbincang dengan peguam.

“Memandangkan mahkamah telah memutuskan bahawa saya tidak bersalah dan saya akan bincang dengan pihak peguam kerana kes ini telah diadukan oleh seseorang tentang saya.

“Saya yakin saya berada di pihak yang benar,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Hadir sama peguam Mohd. Hafizuddin Khan Norkhan.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos (kanan) bersama Peguam, Hafiz Norkhan pada sidang media berkaitan kes pertuduhan jenayah dibawah s. 233(1) Akta SKMM melibatkan Ketua Polis Selangor di Mahkamah Majistret Ampang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 10 OGOS 2022.

Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini melepas dan membebaskan Jamal terhadap dua pertuduhan kerana memuat naik video dengan kenyataan jelik dalam akaun Facebook miliknya, dua tahun lalu.

Keputusan itu dibuat setelah Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Jamal pada akhir kes itu.

Dalam pada itu, Jamal juga melahirkan kesyukuran terhadap kemenangannya dalam kes itu kerana tanpa pengorbanan beliau dan rakan-rakan badan bukan kerajaan (NGO), usaha memerangi pusat judi haram tiada kesudahannya.

“Saya ucapkan kesyukuran pada Allah dan juga kepada rakan NGO serta media yang bersusah payah memaparkan kegiatan tidak bermoral dan merosakkan akhlak masyarakat negara ini yang dilindungi sesetengah pihak.

“Apabila ada pemimpin politik atau rakan NGO yang cuba membongkar kes tidak bermoral ini, mereka akan dituduh,” katanya.

Jelasnya, tugas beliau sebagai pemimpin masyarakat dan politik bertanggungjawab untuk mendedah atau membongkarkan kepincangan yang berlaku dalam masyarakat.

“Saya bukan merompak…bukan menyamun…bukan rasuah. Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab demi kebaikan negara dan rakyat.

“Bayangkan kalau kedai judi hari ini masih bersepah di setiap bangunan ada kedai judi, anak-anak kita yang bersekolah, sebelum balik rumah pergi ke kedai judi untuk berjudi.

“Perjuangan itu memerlukan pengorbanan pahit, tetapi saya yakin apa yang dibuat walaupun sukar, duduk dalam lokap, terpaksa ke balai dan mahkamah, tetapi Allah akan berikan hidayah dan rahmat kepada perjuangan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast