Pusat Pemindahan Banjir dua tingkat bernilai RM950,000 siap dibina di Kampung Temai Hulu, Pekan Gambar: Facebook Fakhruddin Ariff

KUANTAN – Sebuah Pusat Pemindahan Banjir dua tingkat bernilai RM950,000 siap dibina di Kampung Temai Hulu, Pekan sebagai persediaan musim tengkujuh tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pusat itu  merupakan tambahan kepada dua lagi pusat pemindahan yang dibina di Parlimen Pekan itu.

“Di Pekan sahaja ada tiga Pusat Pemindahan iaitu di Kampung Serambi, Kampung Pulau Rumput dan Kampung Temai Hulu,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang berkata, Kerajaan Negeri Pahang mendirikan kesemua Pusat Pemindahan itu dengan peruntukan daripada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan dilaksanakan Majlis Daerah Pekan (MDP).

“Pusat ini dilengkapi prasarana seperti pagar, dua unit tandas wanita dan lelaki, dua bilik mandi wanita dan lelaki, dua surau lelaki dan wanita, dewan terbuka bahagian bawah, kipas dan bilik serbaguna,” jelas Fakhruddin.

“Semua pusat pemindahan ini juga boleh digunakan untuk pelbagai tujuan aktiviti di kampung-kampung,” tambahnya.

Selain itu, beliau berkata, laluan masuk sepanjang hampir 200 meter dari jalan utama di pusat pemindahan itu juga telah ditambah baik dengan turapan serta ditinggikan.

Menurut Fakhruddin, kemudahan-kemudahan ini membuktikan kerajaan negeri berusaha sebaik mungkin untuk membela nasib dan kesejahteraan rakyat, khususnya di Pekan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast