KUALA LUMPUR – Semua pihak mesti memberi ruang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menguruskan negara dengan caranya tersendiri.
Sesungguhnya bukanlah mudah mengemudi negara dalam keadaan yang sangat mencabar sebegini.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menurutnya, semua pihak mesti mengiktiraf keputusan kerajaan memastikan kos sara hidup tidak begitu membebankan.
Ini kerana, bukanlah mudah untuk kerajaan memutuskan hampir RM80 billion dibelanjakan untuk membiayai subsidi pelbagai komoditi dan barangan keperluan rakyat bagi tahun ini.
Jumlah ini sangat besar, hampir sepertiga dari perolehan negara.
“Ini bermakna kita terpaksa mengorbankan banyak keperluan pembangunan yang sangat diperlukan. Benar rakyat gelisah dengan kenaikan harga barang dan inflasi yang meningkat.
”Ini bukan isu yang berlaku di Malaysia sahaja. Ia adalah fenomena global akibat dari ‘multifacated’ elemen yang di luar kawalan kerajaan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Begitu juga keputusan beliau menghapuskan permit import (AP) bagi import bahan makanan dan ia adalah langkah sangat berani dan tepat bagi mengatasi segala masalah kecukupan makanan yang negara ini hadapi.
Apatah lagi AP seperti suatu ‘sumpahan’ yang semua orang ingin menghindari dari menyentuhnya selama ini, ujar beliau lagi.
Khaled berkata, sejak Ismail Sabri mengambil alih pentadbiran, beberapa pembaharuan politik yang radikal juga telah beliau laksanakan.
Oleh itu, penting untuk kita semua menghargai kejayaan beliau membenteras kecurangan politik dengan lulusnya Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.
“Kejayaan ini sangat istimewa kerana setelah begitu lama, ia boleh diselesaikan dalam hanya setahun pentadbiran beliau. Sekarang kerajaan beliau sedang mempercepatkan RUU Pendanaan Politik.
”Semua ini adalah perkara yang tidak mungkin terjadi tanpa kemahuan politik dan kepimpinan yang fokus,” tambahnya.
Begitu juga komitmen beliau untuk memastikan laporan Jawatankuasa Khas Penyiasatan Tadbir Urus, Perolehan Kerajaan dan Kewangan mengenai perolehan enam kapal tempur pesisir (LCS) yang dinyahklasifikasikan dan di dedahkan kepada umum wajar juga diberikan pengiktirafan.
Ismail Sabri jelas bersungguh-sungguh untuk menanggani masalah LCS ini dengan telus dan mengikut lunas undang-undang.
Sempena setahun Ismail Sabri mengemudi negara ini, Khaled berkata, kekadang, amat mudah untuk kita bersikap sinis dengan pemimpin kita.
Namun janganlah sehingga menjadikan kita tidak lagi objektif dan gagal bersifat rasional, katanya. – MalaysiaGazette