Empat suspek termasuk dua warga Indonesia terlibat penipuan kerja dalam online diberkas di ibu negara dalam serbuan polis semalam. Ihsan ID Brickfields

KUALA LUMPUR – Sindiket penipuan tawaran kerja dalam talian aplikasi Shopee yang mensasarkan warga Indonesia tumpas dengan penahanan empat suspek Isnin lalu.

Mereka yang dicekup terdiri daripada dua warga tempatan dan dua warga Indonesia berusia antara 20 hingga 31 tahun.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, mereka ditahan selepas satu serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di sebuah unit kondominium di Jalan Klang Lama di sini.

Semua tangkapan tersebut merupakan pekerja sindiket yang menerima bayaran gaji antara RM3,000 hingga RM3,500 sebulan dan diberikan komisyen antara 4 hingga 5 peratus daripada keseluruhan kutipan yang dilakukan dalam tempoh sebulan.

“Berdasarkan siasatan awal, polis mendapati terdapat unsur penipuan dalam talian melalui penggunaan talian prabayar sebagai akses internet dan komputer riba yang dirampas.

“Polis berjaya melakukan rampasan barang elektronik iaitu enam unit komputer riba, 12 unit telefon bimbit pelbagai jenama dan 10 keping kad sim telefon prabayar yang digunakan dalam kegiatan tersebut,” kata beliau menerusi kenyataan hari ini.

Jelasnya, kumpulan ini telah beroperasi sejak bulan Julai 2022 dan urusan pemberian gaji akan diuruskan oleh seorang lelaki tempatan.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Amihizam berkata, semua suspek ditahan untuk siasatan dan orang ramai dinasihatikan jangan mudah percaya dengan sebarang tawaran kerja secara online yang tidak jelas dan menjanjikan gaji lumayan.

“Malah, jangan terburu-buru mendedahkan data peribadi atau maklumat perbankan kepada mana-mana individu yang tidak dikenali,” tegasnya. – MalaysiaGazette