Logo Petronas.

KUALA LUMPUR – Program Pembiayaan Vendor (VFP) Petronas terus memberi impak positif kepada industri dengan lebih 260 permohonan dan pembiayaan bernilai RM1.6 bilion diluluskan setakat Julai 2022.

Ketua Program Strategik dan Pelesenan Perolehan Kumpulan Petronas Natrah Mohd Tahir berkata, VFP dicadangkan untuk membantu vendor Industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Malaysia yang terjejas teruk akibat krisis harga minyak pada 2018 dalam mendapatkan modal kerja dan menambah baik aliran tunai mereka demi mengekalkan perniagaan masing-masing.

“Kini ditambah lagi dengan kesan pandemik yang berpanjangan, sudah tiba masanya kami mempergiatkan usaha untuk menyokong vendor kami yang semuanya memainkan peranan penting dalam ekosistem minyak dan gas,” katanya dalam satu kenyataan.

Kira-kira 200 peserta menghadiri program Hari Perbualan VFP  yang dianjurkan oleh Petronas di Putrajaya pada Selasa, dengan kerjasama  Majlis Perkhidmatan Minyak, Gas dan Tenaga Malaysia dan Persatuan Pemilik OSV Malaysia (MOSVA).

Hari Perbualan VFP bertujuan untuk menghubungkan vendor dalam ekosistem OGSE dengan institusi kewangan VFP sebagai rakan kongsi untuk mewujudkan penyelesaian kewangan yang berdaya maju.

VFP merupakan inisiatif yang diwujudkan bagi memudahkan akses kepada pembiayaan dalam kalangan vendor OGSE tempatan yang berdaftar daripada sembilan rakan strategik program —  Bank Islam, Bank Muamalat, Bank Rakyat, CIMB, Export-Import Bank Malaysia Bhd (EXIM), HSBC Bank Malaysia Bhd, Malayan Banking Bhd (Maybank), RHB Bank, and UOB Malaysia. – BERNAMA