universiti malaya
Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) berpendirian untuk terus mempertahankan Rumah Kediaman Universiti (RKU) daripada diserahkan semula kepada pihak pengurusan Universiti Malaya.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) berpendirian untuk terus mempertahankan Rumah Kediaman Universiti (RKU) daripada diserahkan semula kepada pihak pengurusan Universiti Malaya (UM).

KMUM berkata, pihaknya akan berjumpa dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berikutan satu surat jemputan diterima bagi Sesi Perbincangan Berkaitan Pengurusan RKU oleh KMUM pada 19 Ogos ini.

“Maka kami akan mengadakan perbincangan khas mengenai pengurusan RKU terbabit yang juga dikenali sebagai Rumah Sewa KMUM (RSKMUM) nanti.

“Lanjutan daripada notis yang diterima oleh KMUM daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) untuk menyerahkan semula RKU, pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan oleh KMUM untuk mengekalkan RSKMUM,” kata kesatuan itu menerusi kenyataan hari ini.

Tambah KMUM, antara inisiatif yang diambil pihaknya antaranya menyuarakan isu ini kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

“Maka, KMUM kekal teguh dengan pendirian dan tuntutan yang akan dibawakan dalam perjumpaan bersama pihak KPT iaitu menuntut agar pengurusan RSKMUM kekal berada di bawah KMUM dan dikembalikan bagi penempatan mahasiswa dan mahasiswi senior dalam kalangan B40 yang tidak berjaya mendapatkan penempatan di kolej kediaman.

“Membuka sekurang-kurangnya empat aras di Kolej Kediaman 13 dengan kadar yang segera bagi peginapan mahasiswa dan siswi di UM,” tambah dalam kenyataan itu lagi.

Jelas KMUM lagi, sekiranya pentadbiran UM masih ingin mengambil semula RSKMUM, ia perlu mengembalikan semula duit mahasiswa iaitu dana yang telah diperolehi KMUM daripada sumbangan luar sebanyak RM270,000 yang telah digunakan untuk membaik pulih rumah RKU yang usang, rosak dan terbengkalai sebelum ini serta selesai didiami oleh mahasiswa senior dalam kalangan golongan B40.

Mengikut kronologi, pada asalnya RSKMUM adalah RKU iaitu banglo yang rosak terbengkalai dan tidak berpenghuni sebelum KMUM yang meninjau rumah itu meminta UM supaya menyerahkan kepada mereka untuk diuruskan demi manfaat mahasiswa yang tiada penempatan untuk disewa dengan kadar murah dan percuma untuk yang tidak berkemampuan.

Pada awalnya UM enggan menyerahkan rumah itu kepada KMUM dengan alasan rumah itu rosak dan UM gtiada duit iuntuk membuat pembaikan rumah itu untuk diberikan kepada mahasiswa.

Bagaimanapun, UM menerusi Timbala Naib Canselor telah bersetuju untuk memberikan kepada KMUM jika ia berjaya mendaoatkan dana bagi membaiki rumah itu sebelum KMUM berjaya memperolehi dana berjumlah RM270,000 untuk membaiki sembilan unit RKU tersebut.- MalaysiaGazette