Profesor Dr Md Nasir Ibrahim

KUALA LUMPUR – Tujuh karyawan muda tempatan menerima Dana Khas Filem Pendek daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi memperkasa kemahiran dalam menghasilkan karya berkualiti dan diterima di peringkat antarabangsa.

Mereka ialah Mohd Hairi Safwan dengan karya bertajuk ‘Qarin’, Lim Han Loong (Family Gathering), Lee Shi Min (Dad’s Suit), Syahnur Asyikin Kee Charles (Peace Land), Syazani Zikry Zainul Hakim (A Different View), Felix Elmer Peter John Remek (Pak, Aman Nak Pergi Sekolah) dan Lenathannimalai Srinivasan (Gogu and the Memories of 7 Trees).

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Dr Md Nasir Ibrahim berkata, dana di bawah Dana Kandungan Digital (DKD) (Sektor Filem) itu bertujuan merancakkan ekonomi industri kreatif dalam negara dengan meningkatkan peluang pekerjaan komuniti dan karyawan muda melalui karya kreatif, di samping merangsang kreativiti penggiat menerusi eksplorasi idea dan karya.

“DKD merupakan usaha berterusan daripada Finas dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dalam memajukan sektor perfileman dan industri kreatif negara melalui penawaran suntikan dana kepada penggiat seni tanah air,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan surat setuju terima dana tersebut di bangunan Finas di sini malam ini.

Beliau berkata, DKD (Sektor Filem) disasarkan kepada karyawan muda bagi menggalakkan penerbitan filem pendek berkualiti dan terbuka kepada semua genre yang mempunyai nilai komersial bagi penyertaan pertandingan atau festival dalam dan luar negara.

“Kita berharap penyaluran dana di bawah DKD ini membantu membina semula industri kreatif serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan khususnya kepada penggiat seni tanah air yang terkesan pandemik COVID-19,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast