KUALA LUMPUR – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini mengumumkan untuk mengekalkan harga tiket perlawanan akhir Piala FA 2022 antara Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, yang dijadual berlangsung pada 9 malam 10 Sept ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam berkata, senarai harga tiket perlawanan berkenaan dikekalkan seperti aksi final tahun lepas bermula dengan General Admission berharga RM50 dan RM70, Premium Granstand RM150 serta satu kategori baharu VIP Grandstand RM200.
“MFL menetapkan empat ‘tier’ harga tiket bagi perlawanan akhir Piala FA 2022 dengan masih mengekalkan harga asal meskipun saban tahun berdepan dengan peningkatan kos penganjuran.
“Empat ‘tier’ tiket ini dapat memberi lebih pilihan kepada penyokong untuk mendapatkan tiket bagi menyaksikan perlawanan final itu nanti,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan MFL.
Badan pentadbir bola sepak itu turut mengumumkan sebanyak 78,000 tiket disediakan bagi perlawanan akhir tersebut dan urusan penjualan tiket diserahkan kepada setiap kelab untuk penyokong masing-masing.
“Ini adalah bagi memastikan tiket yang dijual dapat dibeli oleh penyokong pasukan finalis secara sama rata dan adil,” menurut kenyataan itu.
Maklumat lanjut mengenai proses jualan tiket kepada penyokong akan dimaklumkan oleh pihak TFC dan JDT dalam masa terdekat. – Bernama