RAUB – “Tanah ditenggelami air, duit satu sen pun tak dapat.”
Bukan sekali dua cuba mendapatkan keadilan, seorang peneroka Felda Lembah Klau di sini Zulkifli Deraman, 62, menderita selama 14 tahun kerana tidak tahu dengan siapa lagi mahu diajukan masalah dihadapinya.
“Sehingga ke hari ini, saya nak kait buah pun terpaksa ikut jalan jauh. Selepas tu, saya nak buat kerja pun payah,” katanya ketika ditemui semalam.
Zulkifli memberitahu, sebahagian tanah ladang miliknya kini ditenggelami air dari projek Empangan Kelau meskipun tidak tersenarai sebagai pemilik yang dijanjikan pampasan untuk pembinaan projek terbabit pada 2008 lalu.
“Tanah saya tenggelam lebih kurang dua ekar. Jadi kebun saya tu dia duduk di tengah-tengah. Bila air masuk tengah-tengah tu, saya jadi ada dua bahagian, satu kiri satu kanan.
“Bermakna apabila saya selesai kait buah di sebelah sini saya terpaksa memusing jauh dalam satu kilometer ke bahagian yang terpisah tu,” luah bapa kepada enam anak itu.
Menurut Zulkifli, sebelum ini, beliau pernah dijanjikan pampasan sebanyak RM2,000 sebulan untuk kesulitan yang dihadapinya namun sehingga kini ia hanya tinggal janji kosong.
“Macam-macam orang sudah yang datang, daripada Pegawai Wilayah, Tok Pat, Penghulu, Pengurus Felda, Wakil Rakyat. Tapi, tidak ada apa-apa maklum balas daripada mereka,” jelasnya.
Kehilangan dua ekar tanah ladangnya itu menyebabkan Zulkifli kerugian kira-kira separuh daripada pendapatan bulanan hasil tuaian sawit iaitu lebih daripada RM2,000 sebulan mengikut harga pasaran semasa.
Lebih memburukkan keadaan, dia tidak pernah terlibat dalam perancangan projek Empangan Kelau dan tidak layak untuk diberikan wang pampasan seperti peneroka lain.
Selama 14 tahun dia dihimpit kesusahan, Zulkifli juga mendedahkan kini terpaksa tinggal di pondok yang dibina di belakang rumahnya.
MalaysiaGazette turut meninjau keadaan pondoknya itu yang dibina kerana dia tidak mampu untuk menambah baik rumah sedia ada yang tidak lagi sesuai didiami mereka sekeluarga.
Namun dia yang menyifatkan diri teraniaya, tidak pernah berputus asa untuk mencari penyelesaian dan keadilan buat dirinya dan keluarga.
“Harapan saya biarlah benda ini terbela dan berjaya dapat keadilan. Saya minta pihak kerajaan bela lah hidup saya ni. Saya dah susah, terlalu lama selama 14 tahun. Itu kesusahan saya,” luah Zulkifli. – MalaysiaGazette