KUANTAN – Empat termasuk dua warga emas maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di KM135.7 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menghala timur kira-kira pukul 3.26 pagi tadi.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria, kemalangan melibatkan sebuah lori kontena, trak tunda, Proton Exora dan Proton Waja itu turut mengorbankan seorang pekerja LPT.
“Seramai 17 mangsa dilaporkan terlibat, di mana 11 daripada mereka menaiki Proton Exora, empat menaiki Proton Waja dan masing-masing seorang di dalam lori kontena serta trak tunda,” katanya.
Jelas beliau, nahas itu dipercayai berpunca apabila sebuah lori kontena terbabas sebelum lori penunda LPT yang ketika itu sedang mengangkat kereta Proton Exora rosak di bahu jalan serta sebuah Proton Waja yang berhenti di tempat kejadian.
“Ketika kejadian, Proton Exora yang mengalami kerosakan sedang diangkut ke trak tunda terbabit.
“Akibat rempuhan itu, (Proton) Exora terhumban ke dalam gaung sedalam kira-kira 40 kaki,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Zulfadli berkata, Proton Waja yang berada berdekatan lokasi kemalangan itu turut mengalami kerosakan.
Beliau berkata, seramai 13 lagi mangsa terdiri daripada enam kanak-kanak lelaki, dua kanak-kanak perempuan, seorang lelaki serta tiga wanita mengalami kecederaan akibat kemalangan itu manakala seorang lagi lelaki tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kesemua mereka sudah diberikan rawatan awal oleh petugas kesihatan sebelum dihantar ke hospital berhampiran bagi pemeriksaan susulan.- MalaysiaGazette