KUALA LUMPUR – Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) mencadangkan agar kerajaan memberi pakej rangsangan khusus kepada kontraktor kecil kelas G1 dan G2 yang sangat terkesan dengan ketidaktentuan ekonomi negara serta harga barangan binaan yang tidak menentu ketika ini.
Presidennya, Datuk Azman Yusoff berkata, pakej rangsangan tersebut bertujuan menjamin kelangsungan perjalanan syarikat dan perniagaan mereka memandangkan sebahagian besar kontraktor terbabit masih terkesan dengan pandemik COVID-19.
Menurut beliau, pemberian projek di bawah pakej rangsangan itu akan mencetuskan kesan berganda kepada semua rantaian yang terlibat dalam industri binaan termasuk pembekal bahan binaan, kedai perkakasan serta pelbagai segmen perniagaan yang akan menerima manfaat sama.
“Untuk pengetahuan juga, kontraktor khususnya G1 dan G2 secara keseluruhannya masih tertekan dan berdepan cabaran sukar untuk meneruskan kelangsungan aktiviti perniagaan mereka.
“Dengan harga bahan binaan yang turun naik, bahkan adakalanya naik melambung tinggi, isu kekurangan pekerja di tapak binaan yang tidak berkesudahan, kos logistik naik mendadak, pembekalan bahan binaan lewat dari luar negara telah menjejaskan serta mengganggu usaha pemulihan kepada industri ini.
“Industri ini antara paling terjejas teruk sejak pandemik COVID-19 mula melanda negara pada Mac 2020” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Untuk rekod, setakat Julai lalu, terdapat seramai 67,475 kontraktor kelas G1 dan 23,777 kontraktor kelas G2 di seluruh negara.
Sehubungan itu, Azman memberitahu, PKBM memohon peruntukan segera disediakan bagi kontraktor-kontraktor kecil untuk melakukan kerja-kerja khusus seperti kerja penyelenggaraan dengan tawaran kerja itu boleh dilaksanakan menerusi sistem undian di jabatan-jabatan kerajaan dan sebagainya.
Beliau menambah, PKBM merayu agar permohonan bagi bantuan kumpulan bersasar seperti kontraktor kecil G1 dan G2 akan diberi perhatian dan pertimbangan mendalam oleh kerajaan menerusi Belanjawan 2023 kerana sumbangan ribuan kontraktor ini kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat amat besar sekali.
“Wajarlah jika kerajaan meletakkan kumpulan kontraktor kecil G1 dan G2 ini sebagai asas penting sebagai antara kumpulan penggerak utama kepada usaha pemulihan ekonomi negara khususnya di peringkat akar umbi, seiring dengan hasrat kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri untuk melihat semua segmen ekonomi dipulihkan pada kadar yang segera,” katanya. – MalaysiaGazette