Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Rafizi Ramli menyatakan tindakan polis mempercepatkan untuk mengambil keterangan mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS) daripadanya menyebabakan beliau tidak sempat menyentuh isu penyelewengan projek terowong Pulau Pinang.

Timbalan Presiden PKR itu memberitahu, beliau terpaksa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa setelah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.

“Jadi yang saya rancang untuk sentuh soal cabaran menteri UMNO ini terpaksa kita tangguh dah selesaikan yang ini dahulu.

“Jangan risau selalunya saya sebut, saya akan jawab.

“Tapi keutamaan saya sekarang adalah kes LCS dan pada hari Khamis dan Jumaat lalu kita dapat maklum balas daripada polis sebab mereka nak percepatkan dan selesaikan isu ini.

“Saya perlu beri kerjasama dan kita tangguh dalam minggu depan,” katanya ketika ditemui media di perkarangan IPD Sentul, hari ini.

Khamis lalu, bekas Ahli Parlimen Pandan berkata akan menjawab mengapa beliau tidak membongkar penyelewengan projek terowong Pulau Pinang pada Jumaat lalu.

Menerusi ciapan di Twitternya, Rafizi menyifatkan UMNO memberikannya ‘bola tanggung’ mengenai isu terbabit.

“Sibuk ungkit kenapa saya tak bongkar pasal terowong Pulau Pinang. Esok saya jawab. Bagi lagi bola tanggung,” katanya di Twitter pada Khamis.

Rafizi mengulas mengenai kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mencabarnya supaya segera membongkarkan penyelewengan projek terowong Pulau Pinang yang melibatkan Lim Guan Eng.

Puad sebelum ini berkata, walaupun Guan Eng sudah didakwa tetapi rakyat juga ingin tahu macam mana terowong itu gaib.

Katanya, Rafizi ‘bising’ apabila projek LCS lewat, tetapi terowong ghaib senyap. – MalaysiaGazette