KUALA LUMPUR Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bangga dengan dengarah filem terkemuka negara, U-Wei Saari yang memartabatkan Bahasa Melayu di pentas seni dunia, Festival Filem Antarabangsa 2022 Moscow (MIFF22).

Menerusi akaun Facebook, Ismail menzahirkan ucapan tahniah kepada U-Wei selaku Ketua Juri (Filem Dokumentari) pada festival itu yang berucap menyampaikan pengumuman dalam bahasa ibunda negara.

“Tahniah buat U-Wei Saari, pengarah filem tersohor negara kerana dipilih mewakili Malaysia sebagai Ketua Juri di Festival Filem Antarabangsa Moscow. Ini merupakan satu penghormatan kepada dunia perfileman negara.

“Syabas kerana memperkasa dan mengantarabangsa Bahasa Melayu dengan menyampaikan ucapan dan mengumumkan pemenang dalam Bahasa Melayu di Moscow,” tulisnya.

U-Wei Saari atau nama sebenarnya, Zuhir Saari memecahkan tradisi Festival Filem Antarabangsa Moscow dengan menyampaikan ucapan dan mengumumkan pemenang dalam Bahasa Melayu.

The Holy Archipelago dari Rusia yang diarahkan oleh Sergei Debizhev telah diumumkan sebagai pemenang filem dokumentari terbaik pada festival berkenaan.

Pemilihan U-Wei sebagai Ketua Juri di festival filem peringkat antarabangsa, merupkan satu penghormatan kepada dunia perfileman negara. – MalaysiaGazette