KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menolak ada rundingan bersama kepimpinan partinya dengan Pas berkenaan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15).
Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, sebarang rundingan atas kapasiti individu-rertentu tidak boleh anggap sebagai rundingan rasmi yang mewakili parti.
“Saya tidak tahu sama ada rundingan atau tidak rundingan tapi mungkin perbincangan dan sebagainya, kita tidak boleh sekat sesiapa sahaja boleh berjumpa dengan rakan-rakan dalam kalangan Pas untuk berbincang.
“Tapi saya katakan rundingan hanya boleh menjadi sah dan dasar parti apabila diputuskan oleh parti. Parti mesti memutuskan siapa wakil parti yang sah untuk berunding dan itu daripada parti.
“Kalau pergi sendiri-sendiri itu tidak boleh dianggap mewakili parti,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia ke 18 (MIHAS 2022) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC) hari ini.
Ismail Sabri berkata demikian mengulas pertanyaan media mengenai kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin bahawa ada rundingan dalam gelap antara Pas dan UMNO.
Hashim berkata, rundingan dalam gelap Muafakat Nasional (MN) antara Pas dan pemimpin tertentu UMNO menyentuh keperluan satu lawan satu di antara mereka dan Pakatan Harapan (PH).
Dalam pada itu, Ismail Sabri menegaskan apa-apa rundingan yang dibuat antara kedua-dua parti mesti dibuat secara rasmi dan bukan sembunyi-sembunyi.
“Kalau dalam gelap tak tahu lah kita, kalau rundingan mestilah secara terang dan setiap rundingan pun perlu diputuskan oleh parti.
“Apa pun rundingan yang nak dijalankan mesti secara rasmi dan diputuskan oleh UMNO sendiri.
“Kalau rundingan lain itu, pertemuan itu dianggap tidak rasmi tidak akan menjadi keputusan kepada UMNO,” katanya lagi.
Ismail Sabri turut ditanya mengenai niat Pas untuk mengadakan rundingan mengenai 27 kerusi kritikal dengan Barisan Nasinonal (BN) sempena PRU-15 kelak.
Menurut beliau, ia adalah satu cadangan yang baik dan perlu diberikan perhatian dalam memastikan PH tidak mendapat laluan mudah sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru.
“Itu satu cadangan yang saya rasa cadangan yang perlu diberikan perhatian supaya tidak berlaku pertembungan yang mana kalau berlaku pertembungan mungkin boleh memenangkan parti pembangkang.
“Mungkin PH akan mendapat kelebihan apabila berlaku pertembungan antara BN denga Pas, walaupun ini satu cadangan dan boleh diberikan pertimbangan sebab kalau kita dapat tahu kalau berlaku pertembungan PH boleh memenangi kerusi itu maka kita nak beri kemenangan percuma kepada mereka,” katanya.
Justeru itu Ismail Sabri bagaimanapun berkata semua keputusan perlu dibawa ke meja rundingan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk diputuskan.
“Boleh kita kaji dari segi cadangan tersebut, seperti yang saya kata apa juga keputusan parti mesti diputuskan dala mesyuarat MKT UMNO, kalau ada cadangan seperti itu mungkin boleh dibawa ke MKT dan perlu dibincang dan kalau bersetuju boleh lantik wakil untk mengadakan rundingan.
“Bagi saya setiap apa sahaja rundingan mesti dilakukan secara rasmi mewakili parti dan diputuskan oleh parti melalui MKT,” jelas Ismail Sabri lagi.
Pas dalam Muktamar di Kedah sebelum ini berkata pihaknya akan mengadakan rundignan dengan BN membabitkan 27 kerusi kritikal di seluruh negara.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata semua 27 kerusi Parlimen itu adalah kerusi-kerusi bercampur yang pernah dimenangi oleh kedua-dua parti pada pilihan raya lepas. – MalaysiaGazette
















