KUALA LUMPUR – Penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2022) ke-18 tahun ini adalah satu testimoni kepercayaan rakyat terhadap keberkesanan strategi kerajaan memacu pembangunan dan inovasi industri halal termasuk ke peringkat antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hasil jualan yang dipamerkan dalam penganjuran pameran halal saban tahun itu dilihat memberi kesan terbaik kepada sektor halal negara.
Malah ia secara langsung menyumbang kepada kejayaan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Peningkatan jualan sektor halal ini akhirnya akan melonjakkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selain membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada masyarakat Malaysia untuk membawa industri halal ke peringkat antarabangsa,” katanya dalam berucap perasmian MIHAS2022 di di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC) hari ini.
Ismail Sabri juga berkata, antara inisiatif untuk memudahkan pertumbuhan industri halal Malaysia ialah penubuhan Taman Perindustrian Halal Malaysia (Halal Malaysia Industrial Parks).
Ia merupakan hab halal dunia terbesar meliputi kawasan seluas 200,000 ekar di 14 Taman Halal strategik yang telah menerima status Halal Malaysia (HALMAS) daripada Perbadanan Pembangunan Halal (HDC).
“Setiap Taman Halal ini menawarkan fasiliti infrastruktur yang bertaraf dunia, tenaga kerja berkemahiran, kemudahan menjalankan perniagaan, akses mendapatkan ramuan halal serta insentif menarik daripada kerajaan Malaysia yang sentiasa menggalakkan pembangunan halal.
“Sehingga kini, Taman Halal telah menarik jumlah pelaburan terkumpul lebih daripada RM16 bilion, dengan RM9.5 bilion atau 59 peratus dari jumlah ini adalah pelaburan langsung asing (FDI),” katanya lagi.
Untuk rekod, sejumlah 295 syarikat kini beroperasi di 22 Taman Halal di seluruh Malaysia, termasuk 42 syarikat multinasional.
Dalam pada itu, Ismail Sabri juga berkata penting untuk kerajaan menangani sebarang itu berkaitan jaminan halal dalam usaha untuk mempromosikan industri itu.
Katanya, ini kerana ia mampu untuk merosakkan imej halal yang diusahakan kerajaan sejak sekian lama.
Beliau berkata, pengesahan dan piawaian produk Halal Malaysia bermula pada 1974 apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia diberi mandat menyediakan surat akuan pengesahan halal kepada produk yang mematuhi keperluan syariah.
“Bermula dari itu sehingga kini, lebih 8,000 syarikat di Malaysia diiktiraf halal di mana lebih 20 peratus daripadanya adalah syarikat pengeksport.
“JAKIM turut bekerjasama dengan badan pensijilan Halal dari pelbagai negara untuk keseragaman piawaian dalam pematuhan kepada undang-undang syariah,” kata Ismail Sabri lagi. – MalaysiaGazette