Datuk Seri Dr Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR – Pemimpin utama UMNO tidak dapat mengesahkan wujudnya ‘rundingan dalam gelap’ antara parti itu dengan Pas.

Namun bagi Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, rundingan itu tiada tetapi apa yang berlaku hanya cakap-cakap dalam kalangan ahli-ahli politik kedua-dua parti itu memang berlaku.

“Tapi kalau bercakap-cakap biasa ini memang berlaku sesama ahli-ahli Parlimen, ini berlaku. Itu bukan benda yang sulit dan di cakap secara umum.

“Kami ahli-ahli Parlimen Pas dan UMNO sering berjumpa dan sering bercakap, ini tidak berbentuk rundingan hanya bercakap sahaja betapa pentingnya penyatuan yang baik dan diteruskan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri perasmian Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2022) ke-18 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri hari ini.

Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan merujuk kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin bahawa terdapat ‘rundingan dalam gelap’ antara Pas dan UMNO.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, cadangan untuk Pas dan UMNO mengadakan rundingan perlu diambil serius bagi memastikan impian PH kembali berkuasa dipatahkan pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) kelak.

“Semalam saya jumpa menteri Pas dan kita bercakap tentang berapa perlunya perpaduan di kalangan kita. Saya percaya terdapat juga di kalangan kita minta supaya PRU-15 dicepatkan, itu terbaik,” kataya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.