KUANTAN – Seorang wanita maut apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori sawit dalam kemalangan di Jalan Selendang, Felda Selendang, Kuala Rompin hari ini.
Mangsa, Nur Natrah Daharuddin, 26, yang memandu kereta jenis Audi RS 3 berwarna kelabu maut di lokasi kejadian dipercayai akibat tersepit.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Zulfadli Zakaria dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 9.43 pagi.
Katanya, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dalam tempoh kira-kira 15 minit selepas anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat.
Bagaimanapun, petugas Kementerian Kesihatan Hospital Rompin mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, pemandu lori sawit yang tidak mengandungi muatan itu hanya mengalami cedera ringan dan dihantar ke hospital untuk diberi rawatan.- MalaysiaGazette