Jawahar Ali Taib Khan

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menyelaraskan kompaun yang dikenakan kepada pemilik restoran atas kesalahan pelanggan merokok di premis.

Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, ini kerana peraturan itu tidak selaras antara negeri di seluruh negara.

Katanya, ada sesetengah negeri, penguatkuasa KKM menggunakan pendekatan nasihat, manakala di negeri lain pemilik premis dikenakan kompaun.

“Ketidakselarasan peraturan ini di setiap negeri menimbulkan masalah kepada pemilik restoran terutama yang berdepan dengan denda RM1,000 di atas kesalahan yang dilakukan oleh pelanggan.

“Pelbagai usaha sudah dilakukan pemilik restoran antaranya menasihati pelanggan supaya tidak merokok, meletakkan tanda Dilarang Merokok dan tidak membenarkan pelanggan menghisap rokok elektronik dalam restoran demi keselesaan orang ramai,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini

Kata Jawahar Ali, sejak awal tahun lalu, ramai ahli Presma dikenakan kompaun kerana ada pelanggan menghisap rokok di restoran dan terbaru seorang pengusaha restoran dikompaun kerana isu sama beberapa hari lalu.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya merasakan pendekatan kerajasama dan membimbing pemegang taruh terbabit seperti pemilik premis perlu dipertimbangkan oleh pihak berwajib.

Katanya, keadaan berbeza bagi beberapa negeri termasuk Putrajaya yang tidak mengenakan kompaun kepada pengusaha, sebaliknya menasihati pelanggan untuk tidak merokok di tempat awam.

“Presma mengulangi sokongan kepada kerajaan dan beriltizam untuk bersama membantu kempen berhenti merokok, tetapi beberapa keadaan perlu diambil kira agar usaha ini berjalan dengan lancar tanpa menimbulkan sebarang masalah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast