KUALA LUMPUR – Perjumpaan Khas Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama dengan pemimpin UMNO empat peringkat daripada 191 bahagian hari ini hanya membincangkan ‘perkara baik-baik sahaja’.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Ahmad Zahid dan Ismail Sabri akan menyampaikan amanat kepada kira-kira 746 perwakilan yang hadir dalam pertemuan yang diadakan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
“Saya jadi moderator. Perdana Menteri akan berucap terlebih dahulu dan diikuti oleh presiden itu sahaja,” kata Ahmad ringkas ketika ditemui sebelum majlis bermula pada pukul 3 petang tadi.
Ahmad yang kelihatan gembira dan sentiasa tersenyum ketika ditemubual bagaimanapun enggan melayan spekulasi pertemuan tersebut berkaitan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Menurutnya, beliau akan mengadakan sidang media sebaik sahaja perjumpaan khas itu selesai.
Ahmad Zahid tiba kira-kira pukul 2.38 petang sementara Ismail Sabri pula tiba pada pukul 2.40 petang.
Turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua UMNO Bahagia Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Semalam MalaysiaGazette melaporkan Ahmad Zahid dan Ismail Sabri akan menghadiri perjumpaan khas dengan kepimpinan UMNO bahagian semua peringkat.
Terdapat desas-desus yang mendakwa perjumpaan tersebut antara lain bertujuan membincangkan pembubaran Parlimen dan persiapan jentera parti peringkat akar umbi.
Selain itu, terdapat kemungkinan Perdana Menteri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat.
Desakan agar Parlimen dibubarkan lebih awal bagi memberi laluan kepada PRU-15 disuarakan sebahagian besar UMNO cawangan yang bermesyuarat sepanjang bulan lalu.
Lima pemimpin tertinggi UMNO juga telah mengadakan perbincangan tentang tarikh PRU-15 Jumaat lalu. – MalaysiaGazette