Dr. Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA – Kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa beliau yakin Barisan Nasional (BN) akan memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 (PRU15) merupakan satu galakan kepada pengundi untuk memilih BN.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib berkata, keyakinan yang disuarakan oleh Dr. Mahathir itu berdasarkan pengalaman beliau sebagai Perdana Menteri, Pengerusi BN dan Presiden UMNO.

“Saya sokong Dr. Mahathir memang dia beri keyakinan kepada Barisan Nasional. Bahkan dia pernah menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO dulu.

“Keyakinan dia kepada BN cukup hebat. Saya sebagai seorang dalam parti BN (berpandangan) memang itu baguslah. Mungkin dia beri galakan kepada pengundi-pengundi untuk terus menyokong BN,” kata Ismail.

Beliau berkata demikian kepada media ketika menghadiri Hari Sukan Negara  peringkat kementerian di sini hari ini.

Ismail Abd. Muttalib ketika hadir Hari Sukan Negara peringkat kementerian hari ini.

Semalam media antarabangsa, Nikkei melaporkan, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, BN akan menang pada PRU15.

Bagaimanapun, bekas Presiden UMNO itu menjangka Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak akan kembali menjadi Perdana Menteri selepas PRU15.

“Tentang itu (kedudukan Ismail Sabri) tak boleh kira. Maknanya dilantik atau tidak dilantik, sampai masanya kita tahulah.

“Ini kuasa Yang di-Pertuan Agong sebenarnya bukan pada Mahathir. Itu pandangan peribadi dia. Saya pun boleh cakap macam-macam.

“Komen peribadi dia, boleh cakap apa sahaja. Tiada masalah. Tapi realiti bukan macam itu,” tegas Ismail yang juga Ahli Parlimen Maran.

Nikkei melaporkan, Dr. Mahathir berpandangan BN akan menang kerana UMNO mempunyai ‘banyak wang’.

Dr. Mahathir turut menjangkakan Ismail Sabri tidak akan dilantik semula sebagai Perdana Menteri.

“Akan berlaku (konflik dalaman) kerana saya pasti mereka tidak mahu Perdana Menteri sedia ada dikekalkan,” katanya, hari ini.

Dr. Mahathir berpandangan, UMNO mungkin mencalonkan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menyandang jawatan tertinggi dalam pentadbiran negara itu.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Negeri negeri yang memilih untuk tidak bubar parlimen untuk pru 15 akan menghadapi risiko kalah teruk pada prn seperti nasib di johor dan melaka. Sebab itu lebih baik ambil langkah bijaksana.

Comments are closed.