BENTONG – Baharu empat hari dibuka semula, Jalan Bentong-Gua Musang berhampiran Kilang Lee Rubber telah meragut satu nyawa dalam nahas melibatkan sebuah kereta dan treler malam tadi.
Mangsa, seorang wanita dilaporkan maut selepas kereta dinaikinya dihentam sebuah treler di Kilometer 12, Jalan Bentong – Raub hala timur kira-kira pukul 11 malam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kereta yang dinaikinya dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 29 tahun bersama tiga lagi penumpang.
“Apabila sampai di simpang Lebu, pemandu kereta tersebut membelok ke kanan untuk keluar ke jalan utama menghala ke Raub.
“Bagaimanapun kereta sedan jenis Proton yang dipandu lelaki itu dirempuh sebuah treler dari arah bertentangan secara tiba-tiba dari arah Raub telah melanggar bahagian sisi kanan kereta dan mengakibatkan kenderaan itu berpusing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Zaiham, akibat kemalangan tersebut, seorang penumpang wanita berusia 57 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu kereta serta penumpang yang lain terselamat namun mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut,” tambahnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dalam pada itu, Zaiham mengingatkan pengguna jalan raya untuk lebih berhati-hati jika menggunakan laluan yang baru dibuka semula itu kerana keadaannya yang sangat gelap dan berbahaya. – MalaysiaGazette