Kain rentang memaparkan penduduk Kota Tinggi menolak calon luar untuk PRU-15 kini tular di laman sosial Facebook,Orang Kota Tinggi.

JOHOR BAHRU – “Dari Khaled baik Halimah” itu antara  paparan kain rentang yang digantung di bahu jalan dekat Kota Tinggi yang kini tular di media sosial sejak pagi tadi.

Tulisan di lima kain rentang yang digantung itu menjadi tanda tanya adakah Naib Presiden UMNO Datuk Seri Khaled Nordin bakal merebut kerusi di Parlimen Kota Tinggi.

Ini kerana, terdapat beberapa kain rentang yang memaparkan ayat-ayat menolak calon luar telah mula dinaikkan di beberapa lokasi sekitar.

Antara yang tertulis termasuklah ‘Dari Khaled baik Halimah’; ‘Orang muda undi anak watan’; ‘PRU15 masa untuk anak watan’ dan ‘Belia Felda tolak calon luar’.

Baru-baru ini tercetus spekulasi kononnya bekas Ahli Parlimen Pasir Gudang itu bakal beralih angin bertanding di Parlimen Johor Bahru atau Parlimen Kota Tinggi.

Jika di Johor Bahru, Khaled  berdepan saingan sengit kerana penyandang di kawasan berkenaan adalah  Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

PRU lalu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kalah di Parlimen Pasir Gudang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas.

Ketika itu, Khaled ditewaskan calon Pakatan Harapan, Hassan Karim dengan majoriti besar 24,726 undi

Sementara itu, dalam masa yang sama, kedengaran “cakap-cakap politik” bahawa Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique turut mengintai peluang di Parlimen Mersing.

Namun, Ahli Parlimen Kota Tinggi itu ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu. –  MalaysiaGazette