Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Exco Pergerakan Pemuda UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 12 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) tidak akan mengulangi tindakan yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) termasuk mendapatkan pengampunan kepada pemimpin yang dihukum selepas menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, BN tidak akan campur tangan terhadap badan kehakiman seperti yang dibuat oleh PH ketika memerintah.

Ini termasuk meminta pengampunan kepada Datuk Seri Najib Razak seperti yang dilakukan oleh PH apabila memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Asyraf Wajdi menegaskan perkara itu selepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa BN akan membebaskan Najib dari penjara dan mengugurkan pendakwaan terhadap Pengerusi BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi jika menang PRU-15.

“Saya tidak fikir itu pernah dibincangkan oleh pucuk pimpinan parti. Kita tidak akan ulang apa yang PH buat bila mereka berjaya menjadi kerajaan.

“Kita boleh lihat mereka campur tangan dalam kehakiman seperti yang ditulis dalam buku Tommy Thomas dan bagaimana mereka usaha pengampunan terhadap Anwar walaupun proses sangat diragui.

“UMNO dan BN kita sentiasa menjunjung kedaulatan undang-undang menghormati Perlembagaan dan sudah tentu apa yang kita fokus adalah untuk masa depan negara dan rakyat,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pergerakan Pemuda UMNO di sini hari ini.

Mesyuarat tersebut membincangkan persiapan terakhir bagi menghadapi PRU-15.

Asyraf Wajdi berkata, Exco Pemuda telah diarahkan turun ke kawasan bagi memastikan seluruh jentera peringkat bahagian negeri berada dalam keadaan siapsiaga.

Beliau telah meminta supaya jentera Pemuda di 13,205 cawangan UMNO dan BN bersiap sedia untuk turun membantu jika banjir berlaku.

“Ramai di luar sana kadangkala memainkan isu banjir ini seolah-olah macam kerajaan ini sudah tidak wujud lagi. Sedangkan kerajaan masih ada.

“Yang berkempen bukan bomba, NADMA, PDRM dan RELA. Yang berkempen orang politik bahkan kalau berlaku, saya percaya kerajaan sudah bersiap sedia.

“Ini kerana Jabatan Meteorologi sudah bersiap sedia beri gambaran bahawa musim tengkujuh akan berlaku pada bulan tertentu,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, kerajaan sementara pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan segala kemungkinan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast