khaled nordin
Mohamed Khaled Nordin

JOHOR BAHRU – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled mengesahkan namanya antara lima calon Parlimen Pasir Gudang yang dikemukakan kepada pucuk pimpinan pada Pilihan Raya Umum (PRU-15) tidak lama lagi.

Beliau yang juga mantan Menteri Besar Johor memberitahu, sekurang-kurangnya lima nama telah diserahkan kepada pucuk pimpinan.

Bagaimanapun sebarang keputusan hanya akan dimaklumkan setelah keputusan akhir dibuat menjelang tempoh penamaan calon kelak.

“Parti sedang dalam proses menentukan calon tetapi ia belum lagi selesai, baru proses permulaan.

“Tetapi secara rasmi ketua perhubungan kemukakan kepada pucuk perhubungan parti nama-nama yang dicadangkan. Jadi setiap bahagian hantar lima hingga tujuh nama jadi belum ada keputusan lagi.

“Setakat ini bahagian Pasir Gudang kemukakan nama saya dan saya serahkan kepada pucuk pimpinan kerana setiap parti ada strategi dalam meletakkan calon,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Serbaguna Taman Mawar, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros.

Khaled juga hanya tersenyum ketika ditanya khabar-khabar angin menyatakan beliau akan di kerusi Parlimen Kota Tinggi selepas tewas kepada penyandang Hassan Abdul Karim (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Sebelum ini, terdapat beberapa kain rentang di sekitar Kota Tinggi yang menolak Khaled di kerusi berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast