Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) merancang untuk membenarkan pasaran dana borong mendapat pendedahan kepada aset-aset alternatif seperti aset digital, akaun pelaburan dan nota-nota pelaburan.

Ini berikutan pendekatan liberalisasi dalam dana dagangan bursa (ETF) dan skim persaraan swasta (PRS) bulan lalu, yang membolehkan dana-dana runcit mendapat pendedahan untuk melabur dalam aset-aset digital dan akaun pelaburan, kata Pengerusi SC, Datuk Seri Awang Adek Hussin.

“Sebagai salah satu segmen pasaran kami yang tertua dan terbesar, industri unit amanah semestinya, yang pertama sekali, menyesuaikan diri dengan perubahan dalam permintaan.

“Usaha mendapatkan pulangan telah menyaksikan pilihan pelabur beralih daripada produk konvensional ke arah aset-aset alternatif dan pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI).

“Melangkah ke hadapan, trend ini berkemungkinan akan berterusan, di samping inovasi produk selanjutnya dan persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi,’’ kata beliau di Konvensyen Tahunan dan Siri Pendidikan Industri Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM).

Awang Adek juga mengumumkan cabang latihan dan pembangunannya, Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC), akan memperkenalkan Pensijilan SRI untuk Profesional Pasaran pada 2023.

Sijil itu akan meningkatkan keupayaan industri, terutamanya yang terlibat dalam pengagihan dana, seperti unit amanah dan perunding PRS.

“Pengantara yang lebih lengkap akan meningkatkan keyakinan pelabur dan penyertaan dalam kelas aset SRI.

“Tabungan persaraan yang mencukupi selepas pandemik muncul sebagai satu perkara yang dibimbangkan dan mendesak. Ia juga memberi peluang untuk meningkatkan tawaran PRS, melalui pemahaman yang lebih baik tentang tingkah laku pelabur, dan merapatkan jurang simpanan persaraan,’’ katanya.

Di sebalik permintaan yang semakin meningkat, beliau mengingatkan pengantara pasaran untuk terus bertindak demi kepentingan terbaik kepada pelabur mereka.

“SC tidak akan teragak-agak untuk meneruskan tindakan penguatkuasaan bagi salah laku perunding. Malah, kami telah mengeluarkan penalti lebih RM4 juta dari 2020 hingga 2022.

“Dari segi kelakuan, SC telah bertindak terhadap perunding kerana kegagalan menjelaskan dana unit amanah yang dipasarkannya, kerana menyediakan jaminan prestasi, transaksi tanpa kebenaran pada akaun pelanggan, dan mengeluarkan maklumat palsu atau mengelirukan,’’ katanya.

Beliau berkata, FIMM sebagai organisasi kawal selia kendiri, juga mesti terus mengenakan tindakan kepada “perunding jahat”.

Bagi empat tahun lepas, tindakan ke atas perunding telah diambil sebanyak 76 kali, bermula daripada teguran sehingga menggantung pendaftaran mereka, serta memerlukan perunding menghadiri latihan, tambahnya. – BERNAMA