Adham Baba (tengah) bergambar dengan penerima  peranti Siswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor.

JOHOR BAHRU – Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Seri Dr  Adham Baba menyangkal pandangan Bekas Timbalan Presiden UMNO, Tun Musa Hitam yang menyifatkan negara mengalami kekurangan pemimpin ‘top class’.

Katanya, Barisan Nasional (BN) tidak ketandusan pemimpin yang berkaliber jika mahu dibandingkan dengan parti lain.

“Saya hendak ulas melihat kepada naratif yg dibawa Tun Musa semalam dan kita perlu lihat bahawa BN tidak ketandusan pemimpin kalau dibanding dengan pemimpin parti MUDA.

“Kita ada Datuk Indera Mohamad Shahar bekas pelajar UTM yang hari ini menjadi Timbalan  Menteri  Kewangan 1. Bagi saya bukan senang hendak jadi Timbalan Menteri seperti beliau.

“Selain itu kita di dalam parti juga ada anak muda berwiba seperti Ketua Penerangan UMNO, Shahril (Sufian) Hamdan dan mereka ini merupakan antara bakat yang kita ada dan memang perlu diketengahkan,” katanya selepas majlis Pengagihan Peranti Siswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, dekat sini, hari ini.

Semalam dalam majlis di Kota Tinggi, Musa berkata negara kekurangan pemimpin yang mampu berdepan dengan pelbagai cabaran dunia kini.

Katanya, Malaysia sangat perlu pemimpin berkualiti, berpengalaman dan tabah berani dalam menghadapi apa jua cabaran yang datang.

Menurut Adham, ramai generasi muda yang boleh diketengahkan dan perkara itu perlu dilihat secara meluas dengan orang lama membantu orang baru. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast