KUANTAN – Prihatin terhadap masyarakat yang terkesan dengan kenaikan kos hidup ketika ini, seorang Tiktoker terkenal, Hasif Upin mengambil inisiatif mengadakan Program Minyak Motosikal Percuma hari ini.
Ketika penganjurannya, lebih 500 penunggang motosikal membabitkan penduduk tempatan menerima sumbangan minyak petrol percuma di Stesen Minyak BHPetrol di Balok, di sini.
Hasif atau nama sebenarnya Muhammad Hasif Sharauddin berkata, beliau sentiasa berharap minatnya memuat naik video berunsurkan kebajikan dapat mendorong individu lain meneruskan usaha murni itu.
“Saya berharap sumbangan ini dapat membantu golongan berpendapatan rendah mengurangkan beban tanpa perlu mengisi minyak untuk beberapa hari akan datang,” katanya di sini.
Dalam pada itu, program tersebut dikejutkan dengan kehadiran penyandang Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang kebetulan sedang melakukan lawatan di kawasan berhampiran.
Beliau turut mengambil kesempatan meninjau sendiri insiatif yang diusahakan Hasif sebagai anak muda yang prihatin dan memahami keperluan golongan masyarakat.
“Saya gembira dan berbangga dengan aktiviti minyak percuma yang dianjurkan oleh Hasif Upin kerana beliau adalah orang muda yang ingin membantu warga muda yang lain,” katanya.- MalaysiaGazette