KUALA LUMPUR – Datuk Seri Idris Jusoh membuat keputusan untuk tidak lagi bertanding dalam pilihan raya umum kali ini.
Menurut bekas Ahli Parlimen Besut itu, kali ini biarlah calon yang lebih muda diberikan peluang dalan PRU-15.
“Dengan barisan kepimpinan yang lebih muda, saya yakin masa depan UMNO akan jadi lebih bertenaga dan diminati pengundi,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Sebenarnya, Idris telah membuat keputusan sedemikian sejak sejak tahun 2013 lagi bagi memberi laluan kepada pimpinan muda meneruskan legasi parti.
“Ketika itu, saya menyatakan hasrat saya kepada presiden, timbalan presiden dan Setiausaha Agung UMNO namun atas kehendak parti, saya akur dan kekal teruskan khidmat dengan bertanding dalam PRU demi parti dan negara,” katanya.
Meskipun begitu, katanya, pada tahun yang sama saya telah melepaskan jawatan Ketua UMNO Bahagian Besut kepada pimpanan baharu sebagai salah satu perancangan saya untuk ‘berundur secara beransur-ansur’ dalam arena politik.
“Pengalaman saya bertanding dalam PRU bermula tahun 1995 dan menang sebagai Ahli Parlimen Besut ketika saya berusia 40 tahun. Penggal seterusnya iaitu dalam PRU 1999, saya tewas di kerusi DUN namun kembali diberi mandat sebagai ADUN Jerteh untuk dua penggal berturut-turut iaitu pada tahun 2004 dan 2008.
“Dua penggal berikutnya pula iaitu 2013 dan 2018, saya kembali bertanding di kerusi Parlimen seterusnya menang sebagai Ahli Parlimen. Sekarang saya telah meniti usia 67 tahun. Masa untuk saya memberi laluan telah tiba,” katanya.
Sambil berterima kasih kepada parti yang memberinya peluang beliau juga berazam membantu kemenangan BN pada PRU-15 ini.- MalaysiaGazette