Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin menunjukkan dua borang permohonan calon yang diisi bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sempena Pilihan Raya Umum 15 (PRU 15) ini.

PEKAN – Calon bebas  Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini tahun 2020 kini memutuskan untuk mencuba nasib sekali lagi pada Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15) pula.

Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, kali ini beliau mengumumkan untuk bertanding di kerusi Parlimen Pekan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu.

Katanya, beliau lebih selesa bergerak sendirian kerana berpendapat kebanyakan parti kini lebih berkelahi sesama sendiri.

“Calon bebas lagi senang didampingi, dihubungi dan berkhidmat untuk rakyat di Pekan. Memandang politik poltik kini banyak bercelaru, berkecamuk sesama sendiri lagi baik duduk sebagai calon bebas untuk bertanding.

“Saya pernah membawa suara rakyat Chini, kali ini membawa suara rakyat Pekan sendiri pada PRU15 ini dengan bertanding di P0.85 Pekan dan N.20 Peramu Jaya,” katanya kepada media ketika sidang akhbar di sini hari ini.

Jelas Tengku Zainul Hisham, beliau tekad untuk bertanding di kedua-dua kerusi untuk mempertahankan suara rakyat di peringkat negeri dan nasional sudah bersedia dengan jentera yang akan bergerak bebas.

“Kalau bertanding di DUN, akan bertindan dalam negeri sahaja, jadi kalau apa yang kita suarakan tidak dibawakan di DUN maka kita boleh pergi saluran Parlimen.

“Mungkin saya akan pakai logo rumah kerana logo itu ibarat tempat berteduh, perlindungan dan di situlah rakyat di DUN Peramu dan Parlimen akan berlindung,” katanya lagi.

Tengku Zainul Hisham yang juga bekas Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pekan berkata, PRU15 kali ini lebih sengit lebih-lebih di kerusi hangat yang bakal ditandingi itu.

Ini berikutan  wujud pertembungan lima penjuru antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Gerakan Tanah Air (GTA) dan bebas di kerusi berkenaan.

“Saya rasa mencalonkan orang Pekan sendiri tapi yang tidak duduk di Pekan merupakan masalah, untuk BN menang sahaja-sahaja itu bukan senang,” katanya.

Dalam PRK Chini, Tengku Zainul memperoleh 1,222 undi ketika bertanding tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Shahrim Md Zin (13,872) dan seorang lagi calon bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli (137). – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast