CYBERJAYA – Lebih 200 pelajar Universiti Multimedia (MMU) gembira apabila menerima gajet Program Peranti Siswa Keluarga Malaysia di kampus MMU Cyberjaya, di sini baru-baru ini.
Peranti-peranti berkenaan disampaikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun kepada para pelajar daripada keluarga B40 untuk membantu mereka dalam proses pembelajaran.
Teruja dengan peranti yangd diterima, Putri Nor Asmah Ab. Syukor, 21, pelajar Ijazah Sistem Maklumat berkata, dia terharu kerana terpilih sebagai salah seorang penerima peranti itu memandangkan terdapat hampir 2,000 permohonan di MMU.
”Saya amat memerlukan peranti ini untuk membantu pelajaran saya. Sebelum ini saya terpaksa berkongsi peranti dengan adik-beradik saya,” katanya.
Manakala seorang lagi pelajar, Hon Yao Feng, 19, juga gembira menerima peranti itu.
Pelajar Diploma Multimedia Kreatif, dari Kulai, Johor sempat mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana melaksanakan inisiatif itu.
Beliau berharap peranti ini dapat membantunya mencapai keputusan cemerlang dalam mata pelajaran yang diambil mulai semester ini.
Berkongsi pandangan sama, Purneswari Chandrasekaran, 21, berkata, peranti berkenaan boleh membantunya menyiapkan tugasan dalam subjek yang diambil dalam kursus Sains Komputer (Sains Data).
”Sekarang saya sudah mempunyai gajet sendiri dan tak perlu lagi berkongsi dengan empat adik beradik saya untuk menyiapkan tugasan,” katanya. – MalaysiaGazette