Pelakon dan pengarah terkenal, Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri hadir sebagai calon Gerakan Tanah Air (GTA) Parlimen Port Dickson di Kompleks Pentadbiran Port Dickson

PORT DICKSON – Calon Parlimen Port Dickson dari Gerakan Tanah Air (GTA) di bawah logo Pejuang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hadir ke pusat penamaan calon diiringi anak istimewanya, Ahmad Firdaus, 22, yang berkerusi roda.

“Kami memperjuangkan anak-anak istimewa,” katanya bersemangat sambil menolak kerusi roda anaknya.

Turut mengiringi beliau di Kompleks Pentadbiran Port Dickson adalah isterinya, Jameah Abdul Aziz.

Selain Ahmad Firdaus, Ahmad Idham dikurniakan tiga cahaya mata lain, Ahmad Aydeel, 18, Kintan Myra, 16, dan Ahmad Khaliff, 12.

Ahmad Idham sebelum ini giat menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah sekolah kam Sekolah Pendidikan Khas Eden Firdaus yang ditubuhkan sempena nama anaknya itu.

Ahmad Idham turut komited mewujudkan sistem sokongan komuniti dalam kalangan keluarga anak-anak istimewa sebagai lima agenda bagi meningkatkan tahap kehidupan penduduk di lokasi percutian popular itu jika menang pada PRU15.

Justeru, bagi merealisasikan hasrat itu, perjanjian persefahaman (MoU) bagi memperkukuhkan sistem sokongan komuniti ‘Ikhtiar Bonda’ dimeterai semalam antara Ahmad Idham yang juga pelakon dan pengarah filem selaku pengasas Hab Pendidikan Khas GTA dan Ketua Wanita GTA, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim.

Ahmad Idham dijangka berdepan saingan sengit daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun daripada Pakatan Harapan (PH), bekas Timbalan Menteri Pendidikan dari Barisan Nasional, Datuk P. Kamalanathan.

Turut muncul di pusat penamaan calon itu, pesara tentera serta aktivis masyarakat, Abdul Rani Kulup Abdullah yang popular dengan panggilan ‘Ayahanda’, sebagai calon bebas.

Beliau serta pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof diumumkan sebagai calon GTA bagi PRU15.

Eizlan daripada badan bukan kerajaan (NGO) Gagasan Bangsa akan bertanding di Parlimen Sabak Bernam atas tiket GTA di bawah Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Selain dua selebriti itu, pelakon Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando turut dicalonkan bagi Parlimen Tanjung Karang oleh GTA. – MalaysiaGazette