SIMPANG RENGGAM – Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Kamal Kuskin memberikan reaksi agak pelik apabila mengatakan beliau sayangkan UMNO.
Kata-kata spontan itu terpacul dari bibirnya sejurus ditanya sekumpulan wartawan mengenai respon beliau selepas menjadi calon bagi kerusi Parlimen Simpang Renggam pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Saya sayangkan UMNO sebenarnya, UMNO tak salah saya sayang. Hadirnya saya sebagai calon dalam politik ni baru setahun.
“Kena ingat nama saya tiada dalam UMNO sebenarnya. Bukan saya lompat, kena ingat…saya tak ada dalam UMNO.
“Bukan saya tak suka, bukan kerana dalam UMNO nama saya tak ada, saya jadi calon tak, tak, bukan tu,” katanya.
Ditanya mengenai pengalamannya berhubung perjalanan proses penamaan calon hari ini, anak jati Simpang Renggam itu berkata, ini merupakan kali pertama beliau situasi seperti ini.
Beliau mengakui berasa gerun dalam pertandingan itu kerana bakal berdepan dengan individu yang hebat seperti Datuk Hasni Mohammad dari Parti Barisan Nasional dan Dr Maszlee Malik dari Pakatan Harapan.
“Saya daripada Perikatan Nasional ni pun baru, baru masuk dan dijadikan calon. Sebelum ini saya aktif dalam Barisan Nasional, UMNO,” ujarnya.
Kamal bakal mencabar Maszlee yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Simpang Renggam dan Hasni bekas menteri besar Johor.
Kerusi tersebut turut direbut calon Perikatan Nasional, Mohd Fazrul Kamat. – MalaysiaGazette