Calon Barisan Nasional (BN) N.04 Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad berarak bersama calon Barisan Nasional (BN) P.055 Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan calon Barisan Nasional (BN) N.03 Kenering, Rohaida Mohamad Yaakob hadir bagi menyerahkan borang penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pejabat Daerah dan Tanah Lenggong, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 05 NOVEMBER 2022.

LENGGONG – Parlimen Lenggong serta dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kota Tampan dan Kenering menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Di DUN Kota Tampan menyaksikan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, 61, mempertahankan kerusi yang dimenangi Pada pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau bakal ditentang oleh Mohd Sabri Abdul Manaf, 39 (PH) dan Mohd Jamil Yahya, 58 (PN).

Pada PRU14 bekas guru itu mendapat 5,183 undi dengan majoriti 2,302 undi.

Beliau menewaskan Rifaat Razman dari Pas yang mendapat 2,881 undi dan calon PKR, Noor Haslinda Mohd Hashim yang memperoleh 1,834 undi.

Parlimen Lenggong menyaksikan pertembungan antara penyandang kerusi Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, 55 (BN) dengan Jurey Latiff Mohd Rosli, 56 (PH) dan
Muhammad Rifaat Razman, 35 (PN).

Pada PRU 2018 Shamsul Anuar mendapat 12,523 undi dan memperoleh majoriti 5,773 undi.

Beliau pada ketika itu menewaskan calon Pas, Mujahid Fadzli yang mendapat 6,750 undi dan calon PKR, Amirul Faizruzzen (3,932).

Sementara di DUN Kenering, BN yang memenangi kerusi tersebut pada PRU14 meletakkan calon baharu, Rohaida Mohamad Yaakub, 38.

Beliau akan ditentang Mohamad Jamean Zulkepli, 28 (PH) dan Husairi Ariffin, 56 (PN).

Pada 2018 kerusi DUN Kenering dimenangi Tarmizi Idris (BN) yang mendapat 7,739 undi dan majoriti 3,268.

Beliau menewaskan calon PKR, Noor Sham Abu Samah (1,931) dan calon Pas, Azhar Rasdi (4,111).

Pilihan Raya Umum ke-15 akan berlangsung pada 19 November dan pengundian awal pada 15 November. – MalaysiaGazette