Dr. Radzi Jidin

PUTRAJAYA – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin mengakui masih banyak ruang penambahbaikan untuk diberikan kepada pengundi-pengundi di kawasan itu.

Jelasnya, itu antara faktor yang membuatkan beliau menawarkan diri untuk bertanding di Putrajaya.

“Komitmen saya adalah untuk beri yang terbaik untuk warga Putrajaya dalam melonjak bandar ini jauh lebih tinggi. Masih banyak ruang dan peluang untuk ditambah baik keadaan Putrajaya.

“Insyaallah dengan sokongan dan dokongan serta kepercayaan yang diberi, sekiranya menjadi Ahli Parlimen Putrajaya, komitmen saya untuk beri yang terbaik,” katanya selepas menyerahkan borang penamaan calon di Kompleks Kejiranan Presint 9, di sini, hari ini.

Radzi berdepan tentangan enam penjuru dengan penyandang kerusi itu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (BN), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (PKR) dan Datuk Mohd Rosli Ramli (Pejuang).

Malah dua calon bebas turut mencuba nasib iaitu Samsudin Mohamad Fauzi dan peguam, Lim Fice Bee.

Pada PRU14, Tengku Adnan berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Putrajaya buat penggal keempat apabila menang dengan majoriti 3,372 undi mengalahkan calon Pas, Zainal Abidin Kidam dan PKR, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast