Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharun Mansor bercakap kepada media di hadapan Pejabat Operasi FoodPanda Malaysia, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Kerja Malaysia (MUTC) mendesak pihak pengurusan tertinggi FoodPanda segera menyelesaikan isu upah penghantar p-hailing.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharun Mansor berkata, terdapat banyak isu-isu yang telah timbul sebelum ini namun keutamaan adalah isu membayar gaji.

“Isu gaji kita tidak boleh beri kompromi kerana mereka bekerja untuk mendapatkan wang bagi membeli keperluan asas.

“Walaupun syarikat mengalami kesusahan, tetapi gaji mesti dibayar kerana itu adalah titik peluh mereka, jangan jadi seperti buruh paksa, suruh bekerja tetapi tidak membayar gaji,” katanya ketika sidang media di hadapan Pejabat Operasi FoodPanda Malaysia, hari ini.

Kamarul berharap kerajaan akan memperuntukkan akta khusus untuk ekonomi gig bagi membela kebajikan rakan-rakan penghantar.

“Keadaan kebajikan mereka tidak dijaga dengan baik dan mereka tidak ada tempat untuk bergantung.

“Oleh itu, kita akan beri masa tujuh hari sehingga 16 Oktober kepada pengurusan FoodPanda menyelesaikan isu ini, dan sekiranya tiada maklum balas kita akan panggil rakan-rakan penghantar untuk bersama memberi tekanan,” ujarnya.

Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing, Abdul Hakim Abdul Rani bercakap kepada media di hadapan Pejabat Operasi FoodPanda Malaysia, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing, Abdul Hakim Abdul Rani berkata, permasalahan sistem wallet yang tidak dikemaskini menyebabkan rakan-rakan penghantar P-Hailing terpaksa menerima hukuman.

“Mereka telah menunaikan amanah dan tanggungjawab untuk menyelesaikan segala bayaran tunai yang diterima mengikut kepada syarat pematuhan yang telah ditetapkan pengurusan Foodpanda.

“Namun, permasalahan sistem yang tidak dikemaskini mengakibatkan penggantungan upah perkhidmatan penghantaran dan penggantungan ID rakan-rakan penghantar P-Hailing,” katanya.

Menurutnya, terdapat juga rakan-rakan penghantar tidak menerima upah perkhidmatan penghantaran walaupun sistem wallet telah dikemas kini.

“Pihak pengurusan Foodpanda membatalkan pelaksanaan pembayaran upah penghantaran rakan-rakan penghantar yang mempunyai tunggakan menyebabkan mereka perlu mencairkan wang tersebut melalui pesanan tunai yang diterima.

“Perkara berikut memberikan bebanan kepada mereka,” tambahnya.

Oleh itu, Abdul Hakim berharap pengurusan Foodpanda Malaysia mengkaji semula prosedur operasi standard dan syarat pematuhan rakan penghantar (KPI) yang bertentangan dengan konsep ekonomi gig iaitu industri pekerjaan bebas dan fleksibel. -MalaysiaGazette