Calon Barisan Nasional (BN) N.10 Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Bangunan UMNO Bagan Serai, Perak. Foto MALAYSIA GAZETTE, 09 NOVEMBER 2022.

BAGAN SERAI – Menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu sejak 2014 Datuk Sham Mat Saat sekali lagi berikan tanggungjawab oleh Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Sham berkata, walaupun telah empat kali memenangi DUN Alor Pongsu, ia tidak menjanjikan laluan mudah kepada beliau kali ini.

Lebih-lebih lagi selepas pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik melibatkan mereka yang berusia 18 tahun ke atas.

“Saya harus berusaha menyakinkan pengundi, kelebihan saya adalah mereka boleh lihat apa yang saya sudah buat dalam tempoh empat penggal lepas.

“Penggal ini saya masih usaha berkempen siang dan malam untuk bertemu seberapa ramai yang boleh di DUN Alor Pongsu.

“Majoritinya saya sudah mengenali mereka dan mereka kenal saya. Namun saya harus bertemu seramai mungkin terutama anak-anak muda, pengundi kali pertama,” jelas beliau yang ditemui di Pejabat UMNO Bahagian Bagai Serai.

Pada PRU-14 beliau terselamat daripada tsunami politik yang membadai BN dengan majoriti yang tinggi iaitu 1,162.

Cabaran kali ini adalah gelombang anak muda dan bagi Sham kumpulan pengundi baharu ini bukanlah mereka yang tidak mempunyai pengetahuan tentang politik negara.

Kumpulan tersebut perlu didekati oleh calon dan menyakinkan mereka mengenai parti mana yang lebih bertanggungjawab terhadap rakyat dan negara.

“Mereka ini mungkin kurang pengalaman dari segi politik tetapi bila kita beri penerangan sejelasnya mereka memahami.

“Hari ini orang kadang-kala menyatakan orang muda semua akan sokong pembangkang, saya rasa tidak. Orang muda masih ramai yang sokong BN.

“Mereka boleh tengok kestabilan, kita lihat 22 bulan keadaan sebenar (selepas PH memerintah). Saya beritahu seburuk-buruk BN sudah berjasa hampir 60 tahun,” kata Sham.

Pun begitu beliau menegaskan BN perlu menang di peringkat negeri dan Parlimen agar memudahkan calon parti itu membawa pembangunan di kawasan yang diwakili.

Banyak pembangunan yang telah di bawa di DUN Alor Pongsu sebelum ini termasuk kejayaan meminta Projek Lebuhraya Utara Selatan membina susur keluar di kawasan itu.

Pembinaan susur keluar itu juga akan mengamit pelabur untuk membuka kilang di kawasan industri yang dirancang untuk dibuka di Lembah Beriang.

Pada PRU ini beliau akan menentang Noor Azman Ghazali (Perikatan Nasional) dan Khairul Azman Ahmad (Pakatan Harapan).

DUN tersebut mempunyai 28.659 pengundi dengan 8,469 berusia antara 18 hingga 29 tahun.-MalaysiaGazette