KLUANG – Barisan Nasional (BN) Johor yakin tiga kerusi Parlimen, iaitu Tenggara, Kota Tinggi dan Pengerang, menjadi milik gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15, (PRU-15), 19 November ini.
Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ia sekali gus membolehkan BN mencapai sasaran memenangi sekurang-kurangnya 16 kerusi Parlimen di Johor.
“Sasaran lebih realistik paling kurang 16 kerusi sasaran kita. (Sebanyak) 20 (kerusi) merupakan sasaran terbaik, jadi dengan kerja kuat jentera dan pengundi kepercayaan kepada kita yakin seperti mana yang dimahukan kita,” katanya selepas program Ramah Mesra Penduduk Tenggara bersama Calon BN, Manndzri Nasib di Kota Tinggi hari ini.
BN meletakkan Datuk Seri Dr Azalina Othman Said untuk bertanding di Parlimen Pengerang manakala Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan merebut kerusi Parlimen Kota Tinggi.
Adham, yang juga Ketua Bahagian UMNO Tenggara dan penyandang kerusi Tenggara berkata, kerusi Parlimen berkenaan mempunyai 67,134 pengundi berdaftar dengan lima peratus daripadanya adalah pengundi muda.
“Sebanyak 19 peratus terdiri daripada pengundi berusia 21 hingga 30 tahun. Jadi, memang kenalah memandangkan calon yang kita tampilkan juga daripada kalangan pemuda,” katanya. – MalaysiaGazette