Datuk Seri Zambry Abd Kadir

LUMUT – Ikrar Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu mengambil gaji jika berjaya menjadi Perdana Menteri disambut dengan sinis oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dakwanya, pemimpin utama Pakatan Harapan itu hanya menabur janji seperti yang dilakukan oleh pemimpin parti itu dalam pilihan raya sebelum ini.

“Saudara percaya? Itulah yang kita sebutkan, pelbagai janji, pelbagai kata, yang paling penting sebagai jawapan kepada perkara itu saya ingin serahkan kepada rakyat, adakah anda percaya kepada (Anwar) itu?,” tanya Zambry.

Zambry yang juga calon BN bagi Parlimen Lumut ditemui selepas mengadakan mesyuarat dengan pemimpin setempat hari ini.

Anwar yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengisytiharkan jika dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau tidak akan mengambil gajinya sebagai solidariti kepada rakyat Malaysia yang bergelut dengan kenaikan harga barang.

Menurut sebuah portal, Presiden PKR itu mendakwa rakyat muak dengan Perdana Menteri yang  menjalani gaya hidup mewah manakala rakyat biasa sedang bergelut dari segi kewangan.

“Saya akan malu untuk mengambil gaji perdana menteri sedangkan rakyat menderita dengan kenaikan harga barang.

“Dalam Islam, kuasa adalah tanggungjawab, bukan keistimewaan,” kata Anwar kepada orang ramai semasa ceramah kempen di Kalabakan, Sabah, semalam.

Anwar disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri jika PH menang Pilihan Raya Umum ke-15 dengan namanya dipromosikan dalam ceramah-ceramah yang disampaikan.

Sementara itu Zambry turut mengulas dakwaan Anwar kononnya ada anggota tentera khususnya dalam kawasan Parlimen Bera di Pahang sudah mengundi untuk PRU kali ini.

Sekali lagi Zambry berkata, PH akan melemparkan pembohongan dan fitnah setiap kali pilihan raya berlangsung.

Bagaimanapun menurut beliau, fitnah yang dilemparkan PH kali ini tidak akan berjaya sebagaimana pada PRU14.

“Ini tuduhan yang kita dengar bukan sesuatu yang baru daripada pemimpin mereka dan parti PH. Seperti kita tahu setiap kali pilihan raya bermain dengan isu-isu yang sebegini.

“Walau bangaimanapun kita yakin rakyat tidak akan terpengaruh dengan permainan emosi dan fitnah yang dilemparkan. Rakyat benar-benar belajar daripada peristiwa PRU-14 lalu,” kata Zambry.

Anwar ketika berucap di majlis ramah mesra di Kuala Nerus, Terengganu mendakwa anggota tentera terbabit dibayar RM300 untuk berbuat demikian.

“Saya dapat maklumat sahih bahawa anggota tentera, undi pos telah mula mengundi pagi ini, (dan ia) melanggar peraturan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), terutama untuk (kawasan) parlimen Bera dan (mereka) dibayar RM300,” katanya di hadapan sekitar 100 hadirin yang hadir pada majlis itu.-MalaysiaGazette