AMPANG – Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hanya meluangkan masa kira-kira 10 minit pada ceramah Grand Finale Ayuh Malaysia, Kita Boleh di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Menjadi individu kedua yang berceramah, Wan Azizah berkata, Parlimen Pandan membolehkan dia memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.
“Lagikan tempat jatuh lagikan dikenang, tambah pula pernah jadi Ahli Parlimen sini.
“Jadi Ahli Parlimen jadi Timbalan Perdana Menteri,” katanya.
Sebelum beredar, bekas Timbalan Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) itu berkata, pengundi kena tolak pengkhianat kepada gabungan itu.
“Sini tidak ada pengkhianat tapi yang digantikan oleh anak muda yang bagus dan pandai. Inilah kita mahukan.
“Janji tau, Kak Wan datang touch and go aje,” katanya lagi.
Difahamkan, Wan Azizah bergerak ke Parlimen Bandar Tun Razak bagi menghadiri ceramah di sana.
Wan Azizah bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak berhadapan tentangan tiga penjuru dengan penyandang kerusi itu, Datuk Kamarudin Jaffar yang mewakili PN dan Datuk Chew Yin Keen mewakili BN.
Meneruskan ceramah PH adalah calon pakatan itu bagi Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan calon PH Putrajaya, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz.
Penceramah terakhir untuk dua jam terakhir ini adalah calon PH di Pandan, Rafizi Ramli.
Lebih 2,000 orang membanjiri padang terbuka MPAJ malam ini seawal jam 8 malam bagi mengikuti ceramah Grand Finale Ayuh Malaysia, Kita Boleh. – MalaysiaGazette