Fahmi Hamzah Agenzia Novia
Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak layak menjadi Perdana Menteri berikutan penafiannya terhadap jumlah yang besar rakyat negara ini terkorban akibat jangkitan Covid-19.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil yang menyifatkan Muhyiddin memperlekehkan kematian mangsa Covid-19 itu berkata, dalam beberapa hari terakhir berkempen banyak kenyataan tidak munasabah dikeluarkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

“Dia kata hanya beberapa bilangan orang sahaja yang meninggal akibat Covid-19. Bilangan terbanyak orang mati di bawah pengawasan Muhyiddin,” katanya pada Ceramah Mega Finale Pakatan Harapan (PH) di Padang Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah, di sini, malam ini.

Selasa lalu, Muhyiddin dalam salah satu ceramah kempen PN berkata: “Dalam badan saudara (rakyat) ada sumbangan kerajaan Perikatan Nasional menguruskan duit saudara supaya nyawa saudara terselamat. Alhamdulillah”

“Pada hari ini semua yang hadir terselamat daripada jangkitan Covid-19. Hanya beberapa bilangan sahaja yang telah pun mati atau meninggal dunia,” kata bekas Perdana Menteri itu.

Sementara itu, Fahmi yang merupakan calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Lembah Pantai berkata, ekonomi negara akan meningkat jika PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, mereka yang berhijrah ke luar negara akan kembali dan trend tersebut dapat dilihat pada 2018.

Tambah beliau, calon PH yang dipilih untuk bertanding PRU15 tidak akan memperkayakan diri sendiri, sebaliknya mereka akan memperjuangkan kepentingan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast