Mohd Nizar (tengah) bersama Khairul Shahril (kiri) dan Khairul Shahril semasa kempen di Parit, Perak hari ini.

PARIT – Pengundi seluruh Parlimen Parit dipohon memerangi serangan fitnah oleh pihak tertentu dan menyalurkan infomasi yang benar dan sahih kepada masyarakat.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria berharap masyarakat bersama-sama bergerak bagi memerangi sebarang tohmahan, fitnah dan berita yang tidak betul pada saat-saat akhir berkempen.

“Masyarakat perlu memberi informasi yang betul selain jentera parti dalam menerangkan dan memperjelaskan sebanyak mungkin.

“Saya yakin dan percaya masyarakat dan rakyat telah pun tahu bagaimana peranan wakil rakyat BN bekerja, membantu, mencari ruang dan peluang untuk kita membawa pembangunan infrastruktur termasuk soal membina modal insan di kawasan ini.

“Jadi saya minta masyarakat di Parlimen Parit ini, tekadkan diri, yakin dan percaya BN bukan hanya sekadar bercakap-cakap tetapi paling penting ialah bentuk pelaksanaan yang perlu kita lakukan dari dulu, kini dan selama-lamanya,” katanya ketika ditemui selepas program konvoi kereta dan motosikal dari Kampung Teluk Sena, Lambor Kiri sehingga Bandar Universiti, Seri Iskandar di sini hari ini.

Mohd Nizar berkata, bagi mereka yang pulang ke kampung, jalankan tugas tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk pulang mengundi serta berhati-hati di jalan raya termasuk jaga diri dan keselamatan.

“Sistem demokrasi kita di pilihan raya ini sudah semestinya menjurus kepada mandat yang diberikan kepada rakyat untuk menubuhkan kerajaan yang kuat, stabil dan mampu untuk mengolah bentuk-bentuk kemakmuran, keamanan dan kedamaian,” katanya.

Mengenai pengundi baharu, Mohd Nizar melahirkan penghargaan kepada anak-anak muda kerana mereka adalah aset penting negara.

Sementara itu, calon kerusi BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota, Khairul Shahril Mohamed juga mengingatkan pengundi di Bota supaya menolak perkara yang tidak betul dari segi persepsi dan fitnah.

“Jangan sesekali percaya kerana ia suatu pendekatan yang tidak baik dalam politik yang matang. Insya allah Parit, Bota dan Belanja menjadi milik BN,” katanya.

Bagi calon kerusi BN DUN Belanja, Khairudin Abu Hanipah pula mahu semua pengundi memberi fokus perkara yang disebarluaskan oleh pihak tertentu.

“Periksa kesahihan dan kebenaran itu (setiap berita) itu yang perlu diperhalusi supaya kita tidak termakan dan tohmahan yang dilemparkan.

“Banyak dakyah-dakyah yang cuba dikelirukan terutama berkaitan dasar kerajaan. Perlu diingatkan kebanyakan dasar dan proses pembangunan oleh kerajaan sudah dilaksanakan, tetapi cuma ada beberapa peringkat perlu melalui proses penambahbaikan dan sebagainya.

“Jangan pula kita termakan atau terpujuk dengan tohmahan itu di mana adanya usaha-usaha membantutkan proses pengundian esok pagi.

“Mereka ini akan mengambil kesempatan untuk memburukkan pada saat-saat terakhir untuk mengalih sokongan,” katanya dikenali sebagai CIkgu Din. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast