sabah kerajaan BN
Azmi Hassan

KUALA LUMPUR- Walau apapun pertimbangan dan keputusan parti-parti politik berhubung pembentukan Kerajaan Persekutuan yang baharu, kepentingan negara dan rakyat perlu diletakkan sebagai keutamaan.

Ini kerana, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semalam adalah lebih buruk berbanding PRU14 meskipun ia adalah keputusan pengundi.

Disebabkan itu, keputusan PRU15 cukup meresahkan rakyat apabila timbul persoalan adakah Malaysia akan kembali pergolakan seperti yang berlaku selepas PRU14.

Jika pergolakan berlaku, adakah Malaysia mampu melalui cabaran getir ekonomi yang dijangkakan pada tahun depan.

Penganalisis politik, Dr Azmi Hassan berkata, situasi ‘hung Parliment’ atau Parlimen tergantung pada PRU15 ini tidak mengejutkan kerana ia sudah dijangkakan dari awal.

Yang mengejutkan kerana keputusan PRU15 lebih buruk berbanding tahun PRU14 dan turutan parti yang menguasai undi juga berlaku tidak seperti yang diramalkan.

Biarpun keputusan PRU15 pada mata kasar memperlihatkan Pakatan Harapan (PH) mendapat undi teratas, diikuti Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional tetapi pada sebenarnya pengundi telah memilih parti Pas.

Keputusan ini juga ada kaitan dengan bilangan pengundi Melayu Islam yang keluar mengundi sebanyak 65% dan bukan Melayu 90%.

“Ini menunjukkan pengundi Melayu Islam melihat Pas sebagai sebuah parti yang boleh menjaga kepentingan mereka, sebab itu Pas adalah parti yang menyaksikan individu menang paling banyak.

“Malah, undi Pas ini melepasi apa yang diperoleh DAP,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Oleh yang demikian, bagi mengakhiri kebimbangan rakyat, sewajarnya parti-parti politik tidak sahaja mengambil kira kemenangan majoriti mudah 112 dalam pembentukan kerajaan.

Sebaliknya perlu juga melihat pembentukan gabungan politik yang boleh meredakan kebimbangan rakyat Malaysia.

“Ini bermakna, parti-parti politik perlu kembali semula kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapat perkenan baginda sekali lagi.

“Justeru, kali ini parti-parti yang mahu menubuhkan kerajaan diminta supaya berhati-hati dalam menubuhkan Jemaah Kabinet,” katanya.

Ia termasuk perlu berterus-terang dengan rakyat jika kerjasama dengan parti-parti Borneo membabitkan permintaan itu dan ini.

Selain itu, parti-parti gabungan yang membentuk kerajaan ini perlulah memilih calon-calon Jemaah Kabinet yang berwibawa, bukan semata-mata sebagai ucapan penghargaan terima kasih.

“Bukan juga mengikut hieraki kuota parti kerana Malaysia perlu dipimpin oleh ahli Parlimen yang cekap. Jemaah Kabinet perlu diisi dengan individu yang cocok untuk mengelakkan penolakan rakyat dan pertukaran kerajaan sekali lagi.

”Jika tidak, episod empat tahun lalu akan berulang lagi. Semua ini perlu dibentang bersama Yang di-Pertuan Agong demi kesejahteraan negara dan rakyat,” tambah Azmi. – MalaysiaGazette