KUALA LUMPUR: Dua maut manakala enam cedera dalam kemalangan melibatkan dua kereta di KM452 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), dekat Sungai Buloh awal pagi ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata, mangsa yang maut merupakan kanak-kanak perempuan dan lelaki dewasa.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.29 pagi tadi dan tiba di lokasi kejadian 26 minit kemudian.
“Laporan awal, kemalangan melibatkan kereta Proton Wira berlanggar dengan Toyota Vios.
“Terdapat lapan mangsa terlibat. Dua disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan, dua wanita cedera parah dan empat individu lagi cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norazam berkata kesemua mangsa berjaya dikeluarkan orang awam dari kenderaan terlibat sebelum pihak bomba tiba di lokasi.
Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut. – BERNAMA