Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Malaysia memerlukan seorang pemimpin baharu yang boleh memimpin negara ke arah menjadi lebih tersohor di mata dunia.

Pemimpin vateran DAP, Lim Kit Siang berkata, negara tidak memerlukan pemimpin seperti apa yang berlaku apabila Malaysia dikenali sebagai “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk” baru-baru ini.

Menurut beliau, pemimpin yang pernah terkait dengan kemunduran Malaysia dari sebuah negara yang bertaraf dunia kepada sebuah negara biasa dalam dua dekad patut memberi laluan kepada barisan kepimpinan baharu.

Pemimpin yang mempunyai visi dan komitmen untuk menjadikan Malaysia hebat.

Justeru menurut Kit Siang, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pemimpin yang lebih baik berbanding dengan calon-calon Perdana Menteri ke-10 yang lain.

“Pilihan Raya Umum ke-15 telah terbukti menjadi pilihan raya umum yang paling penting dan kritikal dalam sejarah Malaysia kerana ia bakal menentukan sama ada Malaysia boleh mencapai kehebatan dalam pelbagai bidang yang diceburi manusia atau sama ada kita terus mundur ke belakang.

“Selain daripada mengetuai gabungan politik dengan jumlah Ahli Parlimen yang paling ramai, dengan sokongan pengundi tertinggi sebanyak 5.8 juta undi, Anwar Ibrahim mempunyai visi dan komitmen untuk Malaysia – yang berada di tempat ke-45 di dunia dari segi saiz populasi – untuk sekali lagi mencipta sejarah di persada dunia,” kata Kit Siang.

Ketika ini dua gabungan parti bersaing untuk menjadi Kerajaan Persekutuan iaitu antara Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional.

Kedua-dua parti mempunyai jumlah Ahli Parlimen yang terbanyak selepas menang pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Namun kedua-dua parti memerlukan gabungan dengan parti-parti lain sekurang-kurangnnya untuk membentuk majoriti mudah.

PH dan Anwar dilihat ke hadapan dalam persaingan itu selepas Majlis Kerja Tertinggi UMNO membuat keputusan menyokong kerajaan yang bukan dipimpin oleh PN. – MalaysiaGazette