Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Semua pihak dinasihati tidak mewujudkan suasana tidak harmoni dalam proses peralihan kepimpinan kerajaan sekarang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak tidak bertanggungjawab melakukan sebarang provokasi atau membangkitkan isu perkauman dan agama.

“Orang ramai diminta tidak menganjurkan sebarang perhimpunan atau perarakan berkaitan politik di tempat terbuka dalam masa terdekat demi keselamatan dan kententeraman awam.

“Pemilik akaun media sosial turut dinasihatkan untuk menjaga adab dan tingkah laku dalam mengeluarkan sebarang paparan yang boleh mencetuskan kegusaran pada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Acryl Sani juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik menjadi Perdana Menteri Ke-10 hari ini.- MalaysiaGazette