Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM), Ahmad Yazid Othman bercakap ketika sesi diskusi mengenai Pembentangan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan kesannya kepada kita semua sebagai rakyat Malaysia di Anjung Melayu Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berani menarik balik ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) sebagaimana yang pernah dikatakan oleh beliau sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata, kerajaan perlu membuat keputusan yang mengutamakan rakyat dan negara, bukannya memihak kepada syaraikat-syarikat yang hanya mahukan keuntungan singkat.

“Kami tak dapat kata putus sama ada kerajaan bersetuju dengan keresahan dan kerisauan kami.

“Kami masih berharap Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil maklum kerana beliau telahpun mengatakan beberapa tahun lepas apabila beliau mahu CPTPP diperhalusi semula

“Jadi, kita harapkan Datuk Seri Anwar dapat ingat semua, apakah yang sebenarnya beliau katakan dan perhalusi apa yang telah kami bentangkan dalam memorandum itu,” katanya kepada MalaysiaGazette di luar program bual bicara bertajuk CPTPP: Mengapa Malaysia Mesti Bangkit di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai perkembangan terkini selepas memorandum mengenai CPTPP  dihantar ke pejabat Anwar di Perdana Putra, Putrajaya minggu lalu.

Minggu lepas, seramai 24 pakar ekonomi, 57 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), 10 kesatuan sekerja dan lebih 50 individu mendesak kerajaan baharu menarik balik perjanjian ratifikasi itu kerana didapati memberi impak besar kepada ekonomi negara.

Menurut mereka, ratifikasi perjanjian yang berkuat kuasa pada 29 November lalu dilihat lebih kompleks dan umpama ‘perangkap’ kepada ekonomi negara.

Ini kerana, Malaysia sudah ada perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan tujuh negara dan lapan FTA menerusi ASEAN dan ia sudah mencukupi bagi meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Malah, FTA sedia ada juga sudah dapat membantu negara mencapai prestasi eksport lebih baik biarpun tanpa CPTPP.

Dalam pada itu, Ahmad Yazid berkata, sekiranya kerajaan baharu ini mementingkan kebajikan pengusaha industri kecil dan sederhana serta rakyat biasa adalah wajar menarik balik ratifikasi tersebut.

“Insya Allah disebalik masalah-masalah politik yang sedang berlaku, saya fikir Dewan Rakyat sepatutnya diberi ruang untuk bersama-sama menyokong tindakan kerajaan ini (jika ratifikasi ditarik balik) kerana ia bukannya pandangan atau cadangan tetapi ia adalah isu kedaulatan negara secara keseluruhannya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Anwar digesa tarik balik ratifikasi CPTPP

1 Komen

Comments are closed.