Dr Mah Hang Soon

KUALA LUMPUR – Kenyataan Timbalan Presiden MCA, Mah Hang Soon pihaknya menerima arahan daripada pemimpin kanan Barisan Nasional (BN) untuk bersama Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan mendapat perhatian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib dalam kenyataan terbaharu pentadbir Facebooknya hari ini mempersoalkan siapakah pemimpin-pemimpin BN yang dimaksudkan Hang Soon.

“Siapakah “pemimpin-pemimpin” kanan BN yang dimaksudkan?
Siapa yang menipu MCA dalam cubaan melarikan SD (akuan bersumpah) bagi 10 orang ahli Parlimen BN bagi menyokong PN?

“MCA berkata, parti itu telah dimaklumkan oleh beberapa pemimpin kanan Barisan Nasional (BN) bahawa parti komponen tersebut patut bersama PN bagi membentuk kerajaan.

“Situasi itu turut berlaku kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan laporan berita juga banyak menyiarkan sokongan GPS pada PN selepas mereka diberitahu BN bersetuju menyokong PN,” kata Hang Soon dalam satu kenyataan semalam.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan pemimpin kanan BN yang dimaksudkannya itu.

Najib hari ini memetik laporan MalaysiaGazette yang melaporkan kenyataan Hang Soon yang berkata, MCA  diberitahu agar bersama dengan PN bagi membentuk kerajaan.

Menurut beliau, ia berdasarkan kepada keputusan yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) iaitu ‘No DAP & No Anwar’.

Malah Hang Soon juga berkata mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang pertama kali diadakan selepas PRU15 pula memutuskan BN berkecuali dan kekal sebagai pembangkang. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pemimpin kanan BN beritahu kita patut bersama PN – MCA