Aiman Khair Abdul Rahman dinobatkan sebagai juara Anugerah Perdana DMY yang berlangsung di Auditorium Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), semalam.

PETALING JAYA – Pentas akhir Daie Muda YADIM (DMY) menyaksikan peserta dari Selangor, Aiman Khair Abdul Rahman dinobatkan sebagai juara di Auditorium Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) di sini semalam.

Aiman Khair yang mempamerkan persembahan santai dan bersahaja namun penuh fakta berjaya menarik perhatian juri seterusnya membolehkannya memenangi Anugerah Daie Muda Murabbi.

Selaku juara pentas akhir ADMY, beliau  membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 tajaan YADIM (Yayasan Dakwah Islam Malaysia), pakej umrah tajaan Agami Group Sdn Bhd, piala iringan dan sijil penghargaan.

Peserta paling muda itu turut menerima bar emas tajaan Koperasi Makmur Malaysia Berhad; Rehal Diraja Emas tajaan D’Rehal Official; produk kesihatan tajaan Halagel (M) Sdn. Bhd dan tajaan untuk menjadi rakan niaga premium ANGKASA.

“Sejujurnya saya tidak menyangka akan memenangi anugerah ini. Saya amat berterima kasih kepada ibu dan abah saya yang banyak mendoakan saya.

“Saya hanya menumpang doa kedua mereka sahaja,” katanya yang kini sedang bercuti daripada pengajiannya di Universiti Al Azhar, Mesir.

Finalis pentas akhir Daie Muda Yadim

Sementara itu, tiga lagi finalis ialah DMY Nur Husna Mat Ghani yang memenangi Anugerah Tekno Daie, DMY Siti Fatimah Khairuddin (Anugerah Karyawan Daie Muda) dan DMY Muhammad Hafiz Mohamed Din (Anugerah Aktivis Daie Muda).

Dua  lagi pemenang ialah DMY Afeyfah Zulkipli yang membawa pulang Anugerah Ikon Muslimah Muda dan DMY Muhammad Fikri Nazim Nurul Huda (Anugerah Imam Muda).

Hadir sama dalam program ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif TV Al Hijrah, Namanzee Harris dan  Presiden ANGKASA, Datuk Seri Abdul Fattah Haji Abdullah.

Daie Muda YADIM merupakan sebuah inisiatif badan dakwah dengan kerjasama TV Al Hijrah melahirkan pelapis pendakwah untuk negara ini.

Mereka yang menyertai program ini perlu melalui ujian kemasukan sebelum menjalani latihan selama empat bulan di Institut Latihan Dakwah YADIM di Semungkis, Hulu Langat. -MalaysiaGazette