KUALA LUMPUR – Jumlah penduduk Bumiputera pada tahun 2022 dianggarkan seramai 21.13 juta orang (Lelaki: 10.69 juta; Perempuan: 10.44 juta) dengan kadar pertumbuhan sebanyak 1.1 peratus (2020: 20.90 juta orang) manakala nisbah jantina adalah 102 lelaki berbanding 100 perempuan.

Dari segi perangkaan demografi, bilangan kelahiran hidup bagi Bumiputera pada 2021 adalah 357,140 dengan jangkaan hayat bagi Bumiputera ketika lahir adalah 70.5 tahun bagi lelaki dan 74.7 tahun bagi perempuan, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Sementara itu, kadar kesuburan jumlah bagi seorang wanita Bumiputera pada 2021 adalah 2.1 (2020: 2.2).

Bilangan kematian bagi Bumiputera yang dicatatkan pada tahun 2021 adalah 138,868 kematian dengan tiga punca utama kematian disebabkan jangkitan Covid-19 (17,654 kematian), penyakit jantung (13,563 kematian) dan pneumonia (10,914 kematian).

Penemuan berkaitan tenaga buruh pada 2021 menunjukkan seramai 9.26 juta tenaga buruh adalah Bumiputera (Lelaki: 5.58 juta; Perempuan: 3.68 juta) dengan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) bagi Bumiputera meningkat kepada 65.8 peratus berbanding tahun 2020 (64.9%).

Dari segi jantina, KPTB bagi lelaki dan perempuan Bumiputera masing-masing adalah 78.9 peratus dan 52.6 peratus.

Berdasarkan pencapaian pendidikan, sumbangan tenaga buruh Bumiputera yang berpendidikan peringkat menengah dan ke bawah adalah 64.8 peratus, sementara itu, 35.2 peratus tenaga buruh Bumiputera berpendidikan tertiari.

Jabatan Perangkaan Malaysia menambah, kadar pengangguran dalam kalangan Bumiputera adalah 5.0 peratus (2020:4.5%).

Bagi penyertaan dalam profesional terpilih, Bumiputera menyumbang 92.7 peratus dan 84.7 peratus daripada jumlah penolong pegawai perubatan dan jururawat pada 2021.

Sementara itu, Bumiputera menyumbang 63.7 peratus juruukur tanah, 61.9 peratus juruukur bahan, 53.4 peratus doktor gigi dan 53.1 peratus pereka dalaman.

Walau bagaimanapun, Bumiputera mencatatkan penyertaan di bawah 50.0 peratus bagi arkitek (41.7%), peguam (38.5%) dan akauntan (31.4%).

Dari segi statistik siswazah pula, bilangan siswazah Bumiputera yang direkodkan pada 2021 adalah seramai 3.63 juta orang (Lelaki: 1.63 juta; Perempuan: 2.0 juta).

KPTB siswazah Bumiputera lelaki pada 2021 menurun sedikit kepada 87.3 peratus berbanding 88.5 peratus yang dicatatkan pada tahun sebelumnya dan perempuan meningkat kepada 81.9 peratus (2020: 81.0 %).

Berdasarkan statistik pindah milik harta tanah Bumiputera, transaksi harta kediaman yang direkodkan adalah 106,276 dengan nilai transaksi sebanyak RM30.83
bilion (Jumlah nilai pindah milik harta kediaman: RM76.90 bilion).

Sementara itu, pindah milik harta tanah jenis komersil pula mencatatkan sebanyak 2,834 transaksi dengan nilai RM1.45 bilion (2020: RM1.16 bilion).

Dari segi perspektif kebajikan, bilangan Bumiputera yang berdaftar di institusi kebajikan am bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 2021 adalah seramai 3,228 orang (2020: 2,948 orang).

Daripada jumlah tersebut, 1,402 orang di institusi kanak-kanak, 495 orang di institusi orang kurang upaya dan 1,051 orang di institusi warga
emas dan orang papa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast