Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis mencemar duli menyaksikan sesi penyerahan zakat perniagaan Rural Capital Berhad (RCB) kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bernilai RM945,934.00 hari ini.

KUALA LUMPUR – Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis berkenan menyaksikan sesi penyerahan zakat perniagaan daripada Rural Capital Berhad (RCB) kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bernilai RM945,934.00 hari ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif RCB, Hiruddin Hashim, penyerahan zakat perniagaan ini hasil daripada harta perniagaan sama ada melibatkan barangan atau perkhidmatan setelah memenuhi syarat-syarat seperti yang telah ditetapkan.

Katanya, syarikat mengharapkan hasil daripada pembayaran zakat perniagaan ini dapat membina hubungan serta kepercayaan pelanggan untuk terus setia bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan RCB.

“Syarikat korporat bukan sahaja perlu bersaing menyediakan perkhidmatan yang cekap dan kualiti produk yang baik tetapi juga perlu bersama menonjolkan sikap kepedulian terhadap mereka yang memerlukan melalui pengagihan keuntungan syarikat,” katanya.

Majlis penyerahan itu turut di hadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPS, Mohd Nazim Mohd Noor, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Sri Azhar Abdul Manaf, Pengerusi MARA Corporation, Datuk Wira Othman Aziz, Pengerusi MARA Corporation, Datuk Seri Yahaya Mat Ghani @ Abbas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARA Corporation, Datuk Julainie bin Mohd Salleh.

Zakat perniagaan yang telah dikeluarkan oleh RCB ini dari tahun 2016 sehingga 2020 adalah sebanyak RM4.371 juta yang digunakan untuk melaksanakan program-program CSR menggunapakai peruntukan Wakalah.

Pada tahun ini RCB telah menjalankan pelbagai inisiatif CSR di seluruh negara yang mensasarkan golongan asnaf dengan jumlah sumbangan yang telah dikeluarkan sebanyak RM291,000.00.

Program-program CSR akan dilaksana secara berterusan melalui beberapa program yang telah dirancang bersama pihak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), MARA dan MAIPs.

Antaranya program untuk menempatkan anak-anak asnaf ke dalam program pembelajaran di GiatMARA dan Institut Kemahiran MARA (IKM), Program Pusat Tuisyen Pintar, Program Skim Anak Angkat RCB dan Program ‘Back to School’ yang mensasarkan pelajar sekolah harian serta Program Selangkah ke Universiti khusus untuk pelajar SPM selain Program Celik Al-Quran bagi membantu pelajar mempelajari bacaan dengan kaedah yang betul.– MalaysiaGazette